Ahad, 5 Jun 2011

Jadikan Islam Subjek Wajib Lulus, Kata Muslimat PAS

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad



GOMBAK : Dewan Muslimat PAS Pusat, mahukan Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar Islam lulus matapelajaran Islam sebagai syarat mendapatkan sijil UPSR, PMR dan SPM.
Ketuanya Siti Zailah Mohd Yusuf berkata syarat persijilan itu penting memandangkan gejala sosial kian meruncing di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
"Keruntuhan akhlak semakin parah di setiap peringkat umur dan yang lebih menakutkan lagi adalah mereka yang terpelajar berani melawan perintah Allah dan tidak yakin dengan Al-Quran," kata beliau.
"Jadi Kementerian Pelajaran perlu ambil langkah mempertahankan dasar-dasar pendidikan Islam seperti mana yang diperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1989 dengan meletakan Tauhid sebagai asas terulung kepada falsafah dan struktur pendidikan Negara," tambah beliau.
Selain itu Muslimat PAS turut mengusulkan matapelajaran J-QAF yang diperkenalkan di sekolah rendah dilanjutkan ke sekolah menengah untuk menjamin penguasaan Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain di kalangan pelajar.
Usul lain yang turut dikemukakan pada muktamar PAS tadi adalah mewajibkan ujian Tilawah Al-Quran untuk semua pelajar Islam di peringkat UPSR, PMR, dan SPM bagi memastikan semua pelajar Islam menguasai dan celik Al-Quran dan sijil khas dikeluarkan kepada pelajar-pelajar.
Kursus Pendidikan Islam juga mesti diwajibkan ke atas mahasiswa dan mahasiswi Islam di setiap fakulti di semua IPTA sebagai syarat mendapatkan ijazah mereka.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan tidak harus memandang enteng terhadap subjek pendidikan Islam ini kerana kegagalan remaja dari segi aqidah adalah disebabkan kurang penekanan terhadap subjek pendidikan agama seperti ini, kata Siti Zailah .

Tiada ulasan: