Ahad, 5 Jun 2011

Isu konsert MTV ke muktamar PAS

Salhan K Ahmad


Ahli jawatankuasa PAS pusat Khalid Samad hari ini melancarkan petisyen bagai membantah penganjuran konsert MTV World Stage yang akan diadakan di I-City, Shah Alam.

Bercakap ketika mengumumkan petisyen berkenaan di Muktamar PAS hari ini, ahli parlimen Shah Alam itu meminta para perwakilan mengunjungi laman blog khalidsamad.com bagi menandatangani petisyen berkenaan.

NONE“Saya minta perwakilan pergi ke blog saya dan letakkan nama, nombor kad pengenalan dan alamat.

“Ini untuk bantah konsert besar-besaran itu. Sebenarnya penduduk di Seksyen 7 tak puas hati sebab timbulkan kesesakan lalulintas, bising dan sebagainya,” katanya lagi ketika membuat pengumuman berkenaan.

Petisyen berkenan antara lainnya menuntut supaya konsert berkenaan dianjurkan di kawasan lain seperti Stadium Bukit Jalil yang dilengkapi kemudahan dan juga terasing daripada kawasan perumahan.

Petisyen itu juga menyebut, I-City tidak sesuai dijadikan tempat untuk mengadakan konsert berkenaan memandangkan ia merupakan pusat ilmu teknologi maklumat dan bukan pusat hiburan.

"Shah Alam adalah bandar raya ilmu dengan terdapatnya UniSel, UiTM, MSU dan PTPL dan kewujudan tapak konsert adalah bercanggah dengan wawasan bandar raya ini.

"Pelajar-pelajar IPT yang ramai di Shah Alam akan terdedah kepada budaya lepak dan berpesta yang tidak akan membantu kemajuan diri mereka," petisyen berkenaan dipetik.

Kontroversi berhubung penganjuran konsert menampilkan kumpulan rock 30 Seconds From Mars itu berlarutan walaupun menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah memberi kelulusan.

Selain itu, satu lagi petisyen yang turut dimuatkan dalam blog ahli parlimen Shah Alam itu adalah berhubung kelewatan projek pembinaan Hospital Shah Alam.

"Petisyan ini saya alamatkan kepada PM dan minta sekiranya projek ini terus terbengkalai, menteri kerja raya perlu dipecat atau letak jawatan. Mohon tandatangan petisyen itu," kata Khalid Samad lagi.

Tiada ulasan: