Jumaat, 17 Jun 2011

Indonesia penjara Abu Bakar Bashir 15 tahun

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

JAKARTA – Ulama radikal Abu Bakar Bashir dihukum penjara 15 tahun hari ini kerana terlibat dalam satu kumpulan yang menyasarkan untuk membunuh presiden Indonesia.

Tindakan mengenakan hukuman penjara ke atas Abu Bakar merupakan langkah penting kerajaan Indonesia dalam usahanya melemahkan kumpulan pengganas, tetapi dilihat tidak akan mengurangkan ancaman serangan pengganas di negara paling ramai penduduk Islam itu.

Abu Bakar tiada sokongan meluas di Indonesia tetapi penganalisis berkata sabitan kesalahan akan menyebabkan kemarahan di kalangan penyokong setianya, sesetengahnya bertekad untuk membalas dendam ke atas Amerika Syarikat ekoran kematian Osama bin Laden awal bulan lalu.

“Hukuman berat adalah baik kerana ia satu lagi langkah untuk mengatasi semangat radikal di kalangan orang muda,” kata Ansyaad Mbai, ketua agensi antipengganas negara itu kepada Reuters.

“Jika meletakan dia di penjara, ia tidak akan memberi kesan ke atas risiko keselamatan, tetapi akan mengelakkan dia daripada menyampaikan ucapan (bersifat) membenci,” kata beliau dipetik agensi berita itu.

Pihak pendakwa raya mahukan hukuman penjara seumur hidup ke atas Abu Bakar meskipun penalti maksimum atas tuduhan yang dikenakan ialah hukuman mati.

Abu Bakar menafikan pembabitannya dalam kem latihan di wilayah Aceh, yang ditadbir menggunakan undang-undang Islam.

Laporan media sebelum ini menyebut, Abu Bakar dituduh menghasut pengikutnya melakukan rompakan dan pembunuhan, untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi membiayai aktiviti jihad yang dikenali sebagai “fa’i” dan juga aktiviti keganasan.

Kertas tuduhan menyebut yang Abu Bakar meluluskan perancangan yang dirangka oleh militan Dulmatin, Ubaid dan Abu Tholut untuk menjalankan kajian di Acheh dan menyediakan dana awal Rp 15 juta bagi tujuan tersebut.

Ulama itu juga dituduh menghubungi penderma-penderma bagi kem latihan di Acheh dan telah menghimpunkan sekurang-kurangnya Rp 1 bilion untuk membeli senjata dan untuk membiayai kem di wilayah itu.

Tiada ulasan: