Isnin, 13 Jun 2011

Hadi: Negara kebajikan boleh dibukti jika Pakatan diberi mandat teraju negara

TERKINI


Ucapan dasar Hadi pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan. — gambar fail


KUALA LUMPUR — Sambil menyifatkan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan “kepanasan”, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata konsep negara berkebajikan boleh dibuktikan sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negara pada pilihan raya umum ke-13.

Hadi berkata kritikan yang dibuat BN terutamanya Umno terhadap konsep negara kebajikan disebabkan parti itu bimbang akan sokongan rakyat akan beralih.

“Mereka (BN) rasa kepanasan dengan konsep negara kebajikan kita ini, mereka tidak tahu apa itu negara kebajikan yang bercirikan Islam yang mana kita tidak menghalalkan apa yang haram.

“Kalau nak tahu apa itu negara kebajikan kita beri kita menang, dalam tempoh lima tahun kita akan tunjukkan, apa yang Umno lakukan selama ini mencabuli sistem sedia ada,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama selepas pemilihan parti itu minggu lalu.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pemilihan PAS yang memihak kepada golongan profesional adalah kemenangan kepada DAP kerana parti itu berjaya “mempengaruhi” parti Islam itu mengubah dasar memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Selain itu awal minggu ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mendakwa pihak menang besar di sebalik pemilihan PAS adalah tokoh-tokoh yang tidak hadir dan bukan ahli PAS khususnya Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh.

Terbaru, seorang lagi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan PAS menggugurkan perjuangan negara Islam dan diganti negara kebajikan sebagai sekadar umpan untuk meraih undi bukan Islam.Hadi, Ahli Parlimen Marang, juga menegaskan konsep negara berkebajikan yang akan diperjuangkan parti Islam itu berbeza dengan apa yang diperjungkan BN.

Najib juga berkata barisan kepimpinan baru PAS kini memperjuangkan negara berkebajikan dan bukannya negara Islam sambil berkata, ia diambil daripada dasar pentadbiran BN.

“Itu kenyataan orang yang tidak membaca apa itu politik Islam, saya akan keluarkan sebuah buku tentang negara berkebajikan untuk jelaskan.

“Apa yang diperjuangkan PAS (melalui negara berkebajikan) ini perpandukan perlembagaan PAS iaitu dari al-Quran, sebahagian daripadanya kita telah realisasikan di negeri-negeri yang kita perintah.

“Negara berkebajikan kita adalah satu perubahan terutamanya kepada orang bukan Islam yang gagal dilakukan Umno, kita mahu wujudkan sebuah kerajaan yang bersih,” tegas Hadi.

Ucapan dasar presiden Hadi pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.

Dalam ucapan itu, Hadi berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama “negara Islam” itu semata-mata.

Jelas Hadi, konsep negara berkebajikan PAS meliputi segala aspek kehidupan termasuk pentadbiran bagi memastikan negara bersih dari aktiviti tidak sihat.

“Konsep negara berkebajikan ini adalah untuk rakyat, ia termasuk meninggalkan rasuah dan macam-macam, ini yang mahu kita bawa.

“Kita sudah amalkan negara kebajikan ini di Kelantan, Kedah, Perak, Terengganu malah di negeri-negeri Pakatan Rakyat lain iaitu Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Tambah bekas menteri besar Terengganu ini, konsep negara berkebajikan ini akan dibentangkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat selain ia akan diperincikan lagi.

Tiada ulasan: