Khamis, 16 Jun 2011

Exco Pemuda Umno tolak sertai Pakatan Rakyat

"Ada orang ajak saya masuk Pakatan Rakyat, minta maaf saya tidak boleh terima. Orang nombor satu PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya tahu dia."



PETALING JAYA: Exco Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, beliau tidak akan menyertai Pakatan Rakyat tetapi menegaskan boleh bekerjasama dengan Pemuda PAS.

“Ada orang ajak saya masuk Pakatan Rakyat, minta maaf saya tidak boleh terima. Orang nombor satu PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya tahu dia.

“Tetapi dengan Pemuda PAS, kita boleh berbincang mengenai isu kepentingan ramai,” katanya yang juga Ketua Pemuda Umno

Putrajaya dalam satu forum anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Di majlis tersebut, seorang peserta mempelawa Exco Pemuda Umno itu menyertai Pakatan Rakyat.

“Saya setuju dia ‘join’ (masuk) Pakatan Rakyat kerana kita perlukan idea untuk isu kepentingan bersama,” kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang menjadi ahli panel forum tersebut.

Bagaimanapun, akhirnya beliau akur dengan keputusan Ahmad Zaki tidak mahu menyertai PKR.

Kekal bersama Umno

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Ahmad Zaki berkata beliau tidak akan menyertai Pakatan Rakyat dan akan terus kekal bersama Umno.

Setiausaha Pemuda PAS, Khairil Faizi Ahmad Kamil pula berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat yang disuarakan Exco Pemuda Umno itu.

“Saya berharap usaha itu boleh digerakkan untuk kepentingan rakyat dan ini bermakna Ahmad Zaki mesti mengenepikan kepentingan parti. Saya nampak ada kecenderungan Pemuda Umno melakukan perubahan tetapi PAS tidak mahu berhenti di tengah jalan.

“Fokus perbincangan tentulah atas isu kepentingan bersama seperti gaji minima, pengeluar tenaga bebas (IPP) dan kenaikan harga barangan.

“Kita mahu sama-sama berjuang kerana ia untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk Pemuda PAS dan Pemuda Umno,” katanya yang dihubungi hari ini.

Tiada ulasan: