Jumaat, 24 Jun 2011

Cuepacs mahukan gambar sebenar kemelut KP JKR


KUALA LUMPUR– Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan bekas ketua pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Ir Judin Abdul Karim bagi mendapatkan penjelasan berhubung kemelut dua ‘ketua pengarah’ yang berlaku dalam agensi kerajaan itu.

Selain Judin, tegas Omar, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan lima buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) JKR yang bernaung di bawah Majlis Bersama Jabatan Pihak Pekerja JKR (MBJ-JKR).

Tambah Omar, pertemuan itu dijangka akan diadakan pada minggu depan.

“Kita baru menerima memorandum dihantar NGO dan mengambil tindakan, namun langkah pertama yang akan kita lakukan adalah saya akan panggil kelima-lima NGO untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku.

“Selain itu, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan bekas ketua pengarah untuk berbincang kerana saya difahamkan masalah yang berlaku disebabkan tidak ikut prosedur, jadi kita mahu jumpa kesemua mereka dulu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Cuepacs di sini.

Lima NGO itu adalah Kesatuan Perkhidmatan Teknikal Semenanjung Malaysia, Gabungan Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Profesional JKR Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja JKR dan Air dan Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung.

Jelas Omar, pertemuan itu diadakan kerana mahu mendapatkan gambaran sebenar tentang kemelut yang berlaku dalam JKR sejak dua bulan lalu.

“Mereka (NGO) minta kita bawa perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), tapi sebelum ini saya perlu tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Kita mahu tahu secara terperinci kerana saya difahamkan disebabkan prosedur, tapi kita tidak pasti sebab itu apa-apa kita perlu dapatkan penjelasan dulu,” katanya.

Kemelut ketua pengarah JKR menjadi isu apabila pelantikan Judin sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu, didakwa bercanggah dengan prosedur peminjaman kakitangan awam yang ditetapkan pekeliling perkhidmatan 2008.

Tempat Judin digantikan dengan Datuk Mohd Noor Yaacob yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II.

Selain itu, Judin yang memegang jawatan ketua pengarah sejak Mei 2007 masih berada di pejabatnya manakala Mohd Noor menjalankan tugas dari pejabat lama beliau.

Pelantikan Mohd Noor sebagai sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuat kuasa 1 Mei lalu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akhir April lalu.

Hari ini MBJ-JKR mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertanggungjawab dalam kemelut yang berlaku itu.

Selain itu, MBJ-JKR juga mendesak agar Najib menyelesaikan kemelut yang berlaku itu.

Tambah Omar, pihaknya juga berharap agar kemelut yang berlaku itu dapat diselesaikan secara baik.

“Kita lihat perkara ini sudah dipanjangkan ke Parlimen dan kita mahu agar ia diselesaikan dengan baik,” katanya.

Tiada ulasan: