Khamis, 16 Jun 2011

BNBBC disaran fahami penghakiman kes Tian Chua – MP DAP, Pas

KEADILAN DAILY



Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong mengingatkan ahli parlimen BN untuk merujuk dan memahami keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha yang membuat penghakiman bagi mengelakkan pelucutan status Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Beliau berkata demikian berikutan cadangan segelintir ahli parlimen Barisan Nasional melalui Kelab Penyokong BN (BNBBC) yang merancang membentangkan usul penyingkiran Tian Chua dari Dewan Rakyat.

“Telah jelas hasrat hakim untuk mengelakkan dari berlakunya pilihan raya kecil,” kata Chin Tong kepada Keadilandaily ketika ditemui di lobi Parlimen.

“Sebenarnya jika dikaji dari sudut undang-undang, syarat pelucutan (kelayakan Ahli Parlimen akibat denda lebih dari RM 2,000) itu ditetapkan selepas merdeka.

“Waktu itu, jumlah RM 2,000 adalah besar dan sepadan dengan beban kehidupan waktu itu,” kata Chin Tong sambil menambah, undang-undang itu seharusnya dipinda.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan.

Pada 18 Jun 2010 Ghazali pada penghakiman dalam kamarnya mengekalkan denda RM 2,000, dengan tujuan agar pilihan raya kecil tidak diadakan.

“Dalam situasi ini, adalah tak masuk akal sekiranya Tian (Chua) disingkir. Tambahan pula kesalahannya adalah kecil, bukannya skandal atau jenayah besar,” tegas Chin Tong.


Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata adalah tidak wajar sekiranya seseorang ahli Parlimen mengambil pendirian untuk menafikan hak seseorang wakil rakyat yang lain.

“Apatah lagi ahli Parlimen seperti Tian Chua, seorang yang aktif dalam perbahasan di Parlimen untuk membawa isu rakyat.

“Bahkan, seharusnya hakim lebih dahulu mempertimbangkan kesalahannya. Ia tak patut berlaku sehingga menyebabkan seseorang itu kehilangan status atas kesalahan kecil,” ujar Mahfuz.

Tiada ulasan: