Selasa, 21 Jun 2011

Bersih 2.0: Wakil BN jangan kelirukan orang ramai

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Sri Gading, Mohamed Aziz, mendesak Kementerian Dalam Negeri menahan Pengerusi Gabungan Pillihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di bawah ISA.

Desakan tersebut dibuat bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 diadakan 9 Julai ini yang didakwa untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku yang akan menyusahkan orang ramai.

Beliau mendakwa, sekiranya Datuk Ambiga dan Mohamad Sabu tidak ditahan di bawah ISA, Himpunan Bersih 2.0 pasti akan diadakan seperti yang dirancang 9 Julai ini dan pasti akan mencetuskan kejadian tidak diingini termasuk pertumpahan darah dan pertembungan sesama orang Melayu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang bangkit mencelah ketika Mohamed berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 Bacaan Kali Yang Kedua petang ini, mengesyorkan agar Ambiga dikenakan ISA.

Ketika memberikan respons terhadap syor itu, Mohamed Aziz menegaskan bukan hanya Ambiga sahaja yang patut dikenakan ISA, tetapi beliau mendesak agar Mohamad Sabu juga ditahan di bawah ISA.

Melanjutkan desakan itu, beliau mengemukakan dakwaan tidak berasas lain mengenai himpunan aman yang diadakan oleh Pakatan Rakyat termasuk Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan oleh Bersih pada 9 Julai nanti.

Desakan dan dakwaan tidak berasas Mohamed itu mendorong ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangkit untuk membetulkan tanggapan salahnya mengenai Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan itu.

Antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang paling awal bangun, Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mohamed bagaimanapun tetap tidak memberikan peluang kepada Nurul Izzah untuk bercakap walaupun Nurul Izzah berdiiri agak lama.

Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mahu memberikan jalan kepada Nurul Izzah.

Katanya, beliau anak jantan, jadi tidak mahu berkelahi dengan perempuan tetapi kalau dengan lelaki, tidak gentar untuk bergaduh pada bila-bila masa.

Sikap beliau ditempelak oleh Nurul Izzah dengan mengatakan tindakannya itu amat tidak wajar kerana membuat dakwaan dan desakan tidak berasas, manakala beliau pula hanya bangun untuk menjelaskan realiti sebenar.

"Saya nak jelaskan perkara sebenar sebab YB cakap perkara yang tak betul. Jangan nak kelirukan (orang ramai dengan membuat dakwaan tak berasas)," kata Nurul yang terpaksa bangun duduk beberapa kali di tengah ucapan meleret bernada tinggi Mohamed yang tidak memberi peluang kepadanya berucap.

Selain Nurul Izzah, beberapa orang ahli Parlimen Pakatan Rakyat lain yang juga kesal dergan sikap Mohamed itu turut bangun untuk memberikan penjelasan.

Mereka termasuklah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dari PKR dan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dari PAS.

Bagaimanapun, mereka juga tetap tidak diberikan peluang untuk berucap oleh Mohamed bagi memberikan respons terhadap dakwan-dakwaannya yang tidak berasas itu, menjadikan beliau terus berucap berseorangan sehingga tamat tempoh.

Tiada ulasan: