Selasa, 7 Jun 2011

Adenan Satem dilantik Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING – Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak menjelang rombakan Kabinet negeri bulan depan.

Adenan yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, beliau akan bertindak di bawah bidang kuasa Pejabat Ketua Menteri dan kebanyakannya bertanggungjawab mengendalikan isu berkaitan tanah.

“Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah memberitahu saya mengenai perkara ini dan saya berterima kasih kepada beliau kerana terus menaruh keyakinan kepada saya untuk menjadi anggota kabinetnya,” kata Adenan ketika ditemui di Yayasan Sarawak hari ini.

Laporan Bernama Online menyebut, ahli politik berusia 67 tahun itu mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri di hadapan Yang Dipertua negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana, Petra Jaya di sini.

Susulan kenyataan Taib bahawa peralihan kuasa akan berlangsung dalam masa dua hingga tiga tahun lagi, pelantikan Adenan dijangka memarakkan spekulasi yang keputusan itu bagi memberi peluang kepada Adenan memainkan peranan lebih besar dalam kerajaan negeri.

Pada pilihan raya negeri Mei lepas, Taib yang meneraju Sarawak sejak 30 tahun lepas dipetik berkata beliau telah mengenal pasti penggantinya, iaitu anak didik yang dibimbingnya sejak 20 tahun lalu.

Tiada ulasan: