Ahad, 22 Mei 2011

Tanah runtuh ragut lapan penghuni asrama anak yatim, ramai timbus

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Kawasan Rumah Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis dekat Kajang dilanda tragedi tanah runtuh petang tadi. — Foto Reuters


KUALA LUMPUR – Lapan orang disahkan terbunuh dalam tragedi tanah runtuh di kawasan asrama anak yatim Madrasah Al-Takwa, Jalan Felcra Semungkis dekat Kajang petang tadi.

Sembilan orang berjaya diselamatkan dan masih ada yang terperangkap.

Laporan terdahulu menyebut antara 20 hingga 30 penghuni asrama itu tertimbus dalam kejadian, yang dilaporkan berlaku kira-kira 2.30 petang tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan sebahagian premis tersebut tertimbus.

Laporan The Star Online menyebut mayat lapan kanak-kanak telah dikeluarkan setakat 10.30 malam ini.

Premis itu terletak di Batu 14 Jalan Cheras, Hulu Langat, kira-kira 25 kilometer dari ibu negara dan 10 kilometer dari bandar Kajang.

“Dua kejadian tanah runtuh berlaku serentak. Kesemua mangsa tidak kesempatan untuk menyelamatkan diri mereka,” kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang media petang tadi.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang dan Hospital Kajang.

Kata beliau, daripada mangsa kejadian itu, 20 merupakan kanak-kanak yang menghadiri program motivasi di rumah anak yatim tersebut dan empat penjaga.

Ketika kejadian, terdapat 49 kanak-kanak tetapi 25 selamat tanpa sebarang kecederaan.

Mayat pertama dikeluarkan kira-kira 4.30 petang manakala yang kedua setengah jam kemudian dan yang ketiga 6.10 petang, lapor The Star Online.

Dua lagi mayat dikeluarkan 7.40 malam, keenam pukul 9.50 malam dan dua lagi sekitar 10.25 malam.

Media juga melaporkan enam lagi kanak-kanak berjaya diselamatkan dan keadaan mereka dilaporkan parah selepas anggota penyelamat dan penduduk kampung mengorek tanah yang tertimbus.

Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Kajang.

Seramai empat penyelia asrama belum dikesan lagi, lapor The Star Online petang tadi.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dalam keadaan hujan lebat.

Lembah Klang berhadapan dengan hujan lebat sejak pertengahan minggu ini.

Ia merupakan kejadian paling buruk selepas tragedi Bukit Antarabangsa tiga tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa yang tertimbus ditemui.

Operasi melibatkan 200 anggota pelbagai agensi.

Tiada ulasan: