Sabtu, 21 Mei 2011

Projek MRT ketirisan RM4.24 bilion?

Institut KPRU mendapati projek MRT dilaksanakan tanpa ketelusan dan bidaan secara terbuka.



PETALING JAYA: Sebuah institut kajian bernama Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendakwa projek MRT di bawah pengurusan

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengalami ketirisan sebanyak RM4.24 bilion.

Wang tersebut dikatakan cukup untuk membina laluan eksklusif bas sepanjang 212 km, demikian menurut laporan kajian CIMB, KPRU.

Menurut kajian itu lagi, berdasarkan kos RM353 juta sekilometer, kos pembinaan MRT akan mencecah RM53 bilion.

KPRU ingin menekankan bahawa RM53 bilion tersebut akan terjelma dalam bentuk beban hutang sebanyak RM14,096 bagi setiap pembayar cukai.

“Projek MRT bukan sahaja merupakan projek terbesar dalam sejarah Malaysia, malah jika tidak diuruskan secara berhati-hati, projek tersebut berkemungkinan menjadi hutang terbesar dalam sejarah negara kita.”

Kerajaan turut dibidas kerana gagal melaksanakan bidaan secara terbuka dan profesional untuk projek MRT.

”Perkembangan terbaru, kontrak Penilaian Kejuruteraan Bebas (Independent Check Engineer, ICE) telah dianugerahkan kepada konsortium yang bernama HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) secara rundingan terus yang dikatakan penuh dengan ’tipu muslihat dan komplot’.”

Tanpa proses bidaan terbuka, KPRU mendapati hasil kajian projek monorail di Malaysia melihatkan kelebihan kos sebanyak 8% hingga 53% jika dibandingkan dengan kos pembinaan di Singapura dan Manila.

KPRU turut membandingkan projek ‘Marina Downtown Circle Line’ di Singapura dan mendapati bahawa MRT KL/Lembah Klang yang menelan kos sebanyak AS$288.3 juta sekilometer atau RM873.7 juta sekilometer.

Sementara projek jajaran Downtown yang berada sepenuhnya di bawah tanah dan tanpa pemandu hanya 16% lebih mahal daripada MRT, iaitu sebanyak AS$333.8 juta sekilometer atau RM1.01 bilion sekilometer.

Oleh itu, KPRU mahu kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemat. Selain itu institut ini juga mahu kerajaan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah pengangkutan yang lebih menyeluruh dan mampan serta tidak bergantung kepada MRT sebagai satu- satunya jalan penyelesaian kepada masalah pengangkutan awam.

Tiada ulasan: