Sabtu, 14 Mei 2011

Perkasa: Pihak berkuasa jangan tunjuk berani ke atas ‘bangsa sendiri’

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mengingatkan agensi-agensi penguat kuasa supaya tidak hanya menunjukkan keberanian mereka alam menguatkuasakan undang-undang terhadap “sesama sendiri atau sesama bangsa.”

Merujuk kepada tindakan teguran Kementerian Dalam Negeri ke atas Kumpulan Utusan semalam berhubung laporan berkaitan Kristian dan Islam, Ibrahim berkata, pihak berkuasa seharusnya bertindak mengikut undang-undang ke atas semua pihak dan kaum.

Ketua pertubuhan bukan kerajaan membela orang Melayu itu berkata, Kementerian Dalam Negeri pula selain memberi amaran atau memanggil Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, yang dilakukan semalan, perlu tegas dengan media-media bahasa Cina dan blogger yang menulis dan menghina Islam.

“Apa yang dilakukan oleh Utusan ada baiknya sebagai peringatan. Bila tembelang terbongkar, macam-macam penafian, tapi bila bertemu, pasti macam-macam perkara timbul dalam perbualan.

“Saya tidak hairan dengan penafian. Apa pun mencegah adalah tindakan terbaik. Diingatkan kepad semua penguat kuasa, jangan berani sesama sendiri atau sesama bangsa. Bertindak tegas ikut undang-undang pada semua,” kata beliau (gambar) dalam satu kenyataan SMS hari ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Kementerian Dalam Negeri berkata pihaknya telah memanggil Ketua Pengarang Kumpulan Utusan bagi menyerahkan surat teguran kerana menyiarkan berita bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang didapati menggemparkan fikiran orang ramai.

“Adalah menjadi amalan Kementerian Dalam Negeri untuk memanggil dan mendapatkan penjelasan pihak akhbar atas tindakan menyiarkan perkara yang didapati bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984), serta menyerahkan surat teguran ke atas kesalahan tersebut,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kementerian itu akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai atau kandungan-kandungan yang bertentangan dengan AMCP 1984.

Dalam kenyataannya, Ibrahim juga berkata, komuniti Kristian tidak wajar menuntut penggunaan kalimah Allah jika benar-benar menghormati Islam sebagai agama persekutuan.

Sehubungan itu kata beliau, pengikut Kristian mesti betul-betul ikhlas dalam pendirian mereka mengenai kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

“Perkasa merasa lega buat sementara apabila paderi-paderi Kristian memberi pengakuan menerima hakikat serta menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Apabila terima, mesti betul-betul ikhlas. Jangan pula tuntut bukan-bukan yang seakan akan sama dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya merujuk kepada pertikaian mengenai kalimah Allah yang kini berada di mahkamah rayuan.

Kata Ahli Parlimen Bebas ini, walaupun agama-agama lain bebas diamalkan tetapi ia tidak sama dengan kedudukan Islam dari segi Perlembagaan.

“Begitu juga kena mengambil kira adat resam dan budaya Melayu. Oleh itu, jika betul-betul hormat-menghormati kenapa sibuk sangat mahu Alkitab dalam Bahasa Malaysia dan kenapa terjemahan ‘God’ tidak kepada Tuhan, tetapi ‘kalimah Allah’ sampai bawa ke mahkamah.

“Kalau bercakap manis, biar manis betul,” katanya.

Tiada ulasan: