Sabtu, 28 Mei 2011

Perkasa mahu Bumiputera diberi 67 peratus biasiswa JPA

TERKINI



PUTRAJAYA — Perkasa menuntut agar 67 peratus biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diberi kepada Bumiputera untuk menggambarkan komposisi penduduk negara ini.

“Melihat pada kerajaan Barisan Nasional (BN), parti yang memerintah, dapat kuasa disebabkan sokongan majoriti Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kumpulan ini mesti diberi keutamaan dalam semua peruntukan, termasuk biasiswa JPA,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar).

“Kuota sekarang (bagi Bumiputera) adalah 55 peratus,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPA Datuk Seri Abu Bakar Abdullah hari ini.Ibrahim berkata bahagian Bumiputera mendapatkan biasiswa JPA telah jatuh daripada 90 peratus pada 2007 kepada 55 peratus pada tahun berikutnya dan 55.49 peratus pada 2009 dan 55 peratus tahun lalu.

Sehubungan itu ketua Perkasa ini menuduh MCA dan MIC mengeksploitasi isu biasiswa JPA untuk kepentingan politik.

“Apabila mereka berjuang bagi kaum mereka, mereka mahu dapatkan kelebihan politik,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini.

Kedua-dua komponen Barisan Nasional (BN) itu mendakwa JPA telah mengetepikan garis panduan Kabinet dengan memberi biasiswa kepada mereka yang tidak memperoleh prestasi cemerlang.

Ibrahim mendakwa biasiswa merupakan hak istimewa orang Melayu dan ia termaktub di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Wakil rakyat itu juga mempertahankan JPA daripada dakwaan wujud salah guna kuasa dalam proses pengagihan biasiswa.

Katanya, Abu Bakar menjelaskan bahawa pelajar-pelajar terbabit tidak memperoleh biasiswa bagi kursus pilihan mereka sebab mereka tidak memohon kursus-kursus di universiti-universiti yang relevan.

“JPA membuktikan tiada salah guna kuasa,” kata Ibrahim
.

Tiada ulasan: