Rabu, 11 Mei 2011

Perkasa: Kristian boleh jadi PM jika majoriti MP Kristian



KUALA LUMPUR— Seolah-olah memperlekeh pandangan Tan Sri Bernard Dombok, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, seorang yang beragama Kristian boleh menjadi perdana menteri jika majoriti ahli Dewan Rakyat adalah penganut agama itu.

Selain itu, tegas Ibrahim, perdana menteri Kristian boleh dilantik sekiranya majoriti rakyat beragama Kristian dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Benar apa yang dikatakan Bernard Dompok, orang Kristian boleh jadi perdana menteri jika majoriti ahli dalam Parlimen adalah Kristian, majoriti penduduk Malaysia adalah Kristian dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kuasa melantik perdana menteri terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Ibrahim (gambar), kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera perlu diambil kira dalam melantik perdana menteri.

“Sejarah, budaya, adat resam, agama rasmi negara dan Perlembagaan Persekutuan juga perlu menjadi paksi.

“Islam agama rasmi Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam Artikel 153 perlu diambil kira dalam pelantikan perdana menteri Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali mengakui tiada peruntukan yang menghalang bukan Muslim daripada menjadi perdana menteri negara ini.

Bagaimanapun katanya, pertubuhan bukan kerajaan itu mahu memastikan hanya Melayu menerajui negara ini.

Syed Hassan berkata pendirian Perkasa bermakna ia menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak bermaksud yang pihaknya menyokong idea mempunyai wakil Kristian sebagai perdana menteri.

“Kami mengakui hakikat bahawa sesiapa pun boleh jadi perdana menteri, jika mereka diberi mandat dengan memenangi pilihan raya umum.

“Umno juga ada anggota bukan Islam di Sabah, Sarawak. Jika sesiapa daripada kalangan mereka menjadi presiden Umno, dia juga boleh jadi perdana menteri, tiada apa yang kita boleh lakukan,” kata Syed Hassan kepada The Malaysian Insider.

Semalam Dompok, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) berkata tidak menjadi masalah jika perdana menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian..

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menegaskan, Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan.

“Bagi persoalan seorang perdana menteri Kristian, apa masalahnya, saya tidak nampak.

“Lagipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan soal agama dalam soal melantik perdana menteri, satu-satunya syarat adalah mendapat sokongan dalam Parlimen.

“Jika orang Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, Kelabit, Cina atau India yang memenuhi peruntukan Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, dia boleh menjadi perdana menteri negara ini,” katanya.

Pandangan Dompok itu muncul sebagai respons terhadap laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu, di bawah tajuk “Kristian Agama Rasmi?”, mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut itu.

Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Bagi pakar undang-undang Prof Abdul Aziz Bari berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

“Peruntukan bahawa perdana menteri mesti seorang yang beragama Islam tidak selaras peruntukan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tiada ulasan: