Jumaat, 27 Mei 2011

Pemuda PAS bantah KUIN gantung pelajar

Nazri Abdullah

(Gambar: Lima pelajar KUIN yang digantung pengajian)


KUALA LUMPURi: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu pihak pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah mengkaji semula tindakan menggantung pengajian lima pelajarnya kelmarin.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Ketuanya Nasruddin Hassan berkata terdapat cara yang lebih baik bagi menyelesaikan perkara itu dan selain hukuman menggantung pengajian.

“Tindakan itu tidak mendatangkan kebaikan kepada pelajar sebaliknya menjejaskan masa depan mereka. Bertindaklah dengan hikmah dan lunak.

“Gantung mahasiswa menjejaskan masa depan pengajian mereka. Mereka perlu didikan dan bimbingan bukan tindakan keras seperti itu,” tambahnya.

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, enam mahasiswa kolej itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian dan seorang darinya dikehendaki membayar denda.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Seorang lagi, Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.

Kesemua mereka didakwa di bawah kesalahan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara (speaker corner), dan serta mengadakan kenyataan akhbar dan kepada orang awam berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

“Saya harap pihak KUIN mengkaji semula tindakan gantung yang diambil ke atas 6 pelajarnya.

“Saya juga merayu agar pihak kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan perkara ini dengan baik dan bertemu dengan pelajar," gesa Nasruddin.

Sebelum daripada itu, pada 1 April lalu, sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat bagi menuntut semula bangunan tahfiz yang akan diguna untuk pembangnan Sekolah Insan Bestari tersebut.

Rentetan itu, Timbalan Dekan Kuliah Al-Quran, Muhammad Idrus Ismail didakwa telah dilucutkan jawatan kerana turut terlibat dalam demonstrasi tersebut.

Selain itu, mereka kemudiannya mengadakan sepaker corner bagi menjelaskan perkara itu namun dihalang pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Mereka kemudiannya bertindak mengeluarkan kenyataan akhbar kepada media menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak campur tangan.

Tidak cukup dengan itu, mereka kemudiaanya menyerahkan satu memorandum ‘selamatkan idealisme mahasiswa' kepada Presiden PAS meminta agar Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihati Menteri Besar Kedah untuk menangani isu tersebut secara adil.

Tiada ulasan: