Rabu, 4 Mei 2011

Pemuda PAS: ‘Apakah Presiden MCA mahu musuhi umat Islam’


KUALA LUMPUR– Pemuda PAS pusat menyifatkan kenyataan komponen BN-MCA kononnya mahu menutup pintu kepada parti itu jika tidak sanggup menggugurkan prinsip negara Islamnya sebagai satu “pendirian keterlaluan, melampau dan cuba mencipta permusuhan” dengan umat Islam.

Pengarah pilihan rayanya, Mohd Firdaus Jaafar berkata, kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kelmarin, yang menimbulkan sentimen perkauman dan keagamaan, tidak wajar wujud kerana umat Islam bukan sahaja majoriti dalam negara, malah Islam adalah agama persekutuan.

“Apakah masalahnya jika PAS meletakkan prinsip Islamnya yang bertepatan dengan agama persekutuan ini dan adakah MCA mahu bermusuhan dengan PAS atau bermusuhan dengan umat Islam negara ini?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kelmarin, Dr Chua berkata MCA menutup pintu menyertai BN kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Bekas menteri kesihatan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini,” kata beliau.

“Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata beliau.

Sabtu lalu, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.

Najib berkata, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

“Kita lihat poster di sini (Terengganu) “PAS ganti Umno”, realitinya “DAP ganti PAS”, di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP,” kata beliau.

“PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno dilaporkan mempelawa PAS agar menyertai BN dengan berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

Firdaus juga berkata kenyataan Soi Lek membenarkan Umno sebagai parti sekular dan tidak berkehendakkan Islam telah menjelaskan “siapa Umno sebenarnya di sisi rakyat dan BN.”

“Ternyata kenyataan beliau membenarkan bahawa Umno sememang parti sekular dan tidak berkehendakkan Islam,” kata beliau lagi.

Kata beliau lagi, perkataan Islam hanya bermain di bibir mereka sahaja di hadapan orang Melayu.

Oleh itu katanya, mana mungkin MCA boleh menerima kehadiran Umno sebagai peneraju BN dalam keadaan ia mahu melaksanakan Islam.

“Ini menjelaskan lagi bahawa Umno bukanlah parti untuk umat Islam dan rakyat khususnya yang beragama Islam dan mahukan Islam tidak boleh bernaung di bawah Umno.

“Mana mungkin Umno berani melaksanakan Islam sekiranya parti komponen mereka sendiri menentang,” kata beliau sambil menambah, keadaan itu berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR) kerana DAP lebih menghormati prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

“Pengerusi DAP, YB Karpal Singh ketika berucap di Konvensyen PR tahun lalu juga menyebut dengan jelas akan komitmen parti itu mempertahankan Islam sebagai agama rasmi bersama-sama PR,” katanya.

Faridaus berkata Pemuda PAS pusat mahu menegaskan bahawa PAS tetap dengan prinsip Islamnya, walau dengan siapa PAS berkawan.

“Prinsip Islam dalam PAS telah termaktub sejak hari pertama penubuhannya dan ia konsisten sehingga ke hari ini.

“Pemuda PAS pusat juga menegaskan bahawa PAS tetap bersama dengan Pakatan Rakyat yang menjadi harapan rakyat ketika ini untuk menggantikan BN yang semakin lemah,” katanya.

Kata bekliau, PAS tidak akan terhegeh-hegeh untuk menerima pelawaan Umno kerana PAS sentiasa menjaga setiakawan bersama PR.

“Namun sebaliknya Umno atau MCA perlu keluar dari BN dan bersama-sama PR bagi meneruskan survival parti mereka yang sudah semakin hilang sokongan rakyat,” katanya lagi.

Tiada ulasan: