Khamis, 26 Mei 2011

Pelabur tempatan juga berpuas hati di Selangor- Teresa


KEADILAN DAILY


SHAH ALAM: Selangor terus mencapai jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia berbanding negeri lain dalam tempoh Januari hingga Mac 2011 dengan jumlah pelaburan RM2.5 bilion, kata Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa kok.

Menurutnya, dari jumlah itu 40 peratus atau bersamaan RM1 billion merupakan pelaburan tempatan.

“Ini menunjukkan pelabur tempatan juga berpuas hati dengan Kerajaan Selangor, maka mereka sudi melabur di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, angka itu berdasarkan statistik terkini Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) yang turut menunjukkan Selangor mencapai jumlah pelaburan asing tertinggi iaitu sebanyak RM 1.5 billion.

“Angka ini merupakan dua kali ganda negeri berbanding di tempat kedua iaitu Johor sebanyak RM766 juta dan Sarawak di tempat ketiga sebanyak RM656 juta,” katanya.


Di kalangan pelaburan asing di Selangor, katanya, Korea Selatan menanam pelaburan tertinggi dengan nilai sebanyak RM637 juta, diikuti Singapuradengan RM485 juta dan Australia dengan RM102 juta.

“Jumlah pelaburan asing dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi di Selangor menunjukkan ekonomi Selangor kekal mantap dan merupakan destinasi pelaburan popular bagi pelabur asing dan tempatan,” katanya lagi.

Selangor juga katanya, mencapai jumlah projek perindustrian tertinggi di Malaysia dengan 59 projek perindustrian.

“Angka ini merupakan 32 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia. Daripada 59 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 43 merupakan projek baru manakala baki 16 merupakan projek yang diperkembangkan,” katanya.

Di samping itu, Selangor juga mencapai jumlah peluang pekerjaan yang dihasilkan kedua tertinggi di Malaysia dengan 3,880 pekerjaan.

Tiada ulasan: