Rabu, 4 Mei 2011

PAS Miri lulus usul bertanding parlimen

Harakahdaily


MIRI: Mesyuarat Agung PAS Kawasan Miri sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memberi laluan kepada PAS mewakili Pakatan Rakyat bertanding kerusi parlimen Miri dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ini bagi menterjemahkan konsep setiakawan Pakatan dan PAS for All di Bumi Kenyalang.

Sementara itu, AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa ketika berucap merasmikan mesyuarat agung kali kedua itu, kelmarin berkata PAS Miri perlu menggunakan sepenuh kekuatan yang ada bagi merealisasikan PAS for All dan betapa indahnya Islam sebagai panduan hidup bagi masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Dengan prestasi dan penerimaan baik penduduk setempat, beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan mengharapkan usaha itu diteruskan khas di peringkat pedalaman bagi menyebar luaskan Islam dan PAS.

Dalam pada itu, dengan kemunculan aktif Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri di bandaraya ini, potensi PAS bagi meraih kemenangan adalah cerah.

Mesyuarat agung yang diadakan di Dewan Serbaguna Kelab Gymkhana Miri itu telah dihadiri lebih 120 perwakilan dari seluruh anggota Dewan Pemuda, Muslimat dan 6 cawangan penaja sekitar Miri.

Lebih manis buat julung kali perwakilan DHPP Miri turut hadir diketuai sendiri ketuanya, John Barah Aning dan setiausaha, Yeo.

Yeo turut terpilih penerima Anugerah Khas Laksamana Cheng Ho di atas keaktifan beliau menambah keahlian DHPP seramai 70 orang di Miri.

Yang Dipertua PAS kawasan, Haji Jofri semasa menyampaikan ucapan alu-aluan mengingatkan jentera PAS Miri untuk kembali fokus kepada perjuangan yang lebih besar iaitu dakwah dan siasah menjelang Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Katanya, biarpun PAS Miri pada pilihan raya negeri ke-10 yang berlangsung 16 April lalu tidak bertanding sebarang kerusi tetapi telah menunjukkan komitmen dan gerak kerja tersusun bagi membantu rakan-rakan Pakatan Rakyat sehingga membolehkan 2 kerusi Dun di Miri dimenangi calon DAP. Tambahnya, hanya dengan setiakawan dan kerjasama yang kukuh saja hasrat Pakatan untuk mengambil alih Putrajaya akan tercapai.

Beliau mengingatkan semua ahli meneruskan kerja untuk mendapatkan seramai ahli peringkat cawangan bagi memastikan momentum perkembangan yang berlaku itu berterusan.

Mesyuarat kali ini juga menyaksikan beliau dan Khairulnizam sekali lagi diberi amanah memimpin PAS Kawasan Miri bagi sesi 2011-2013.

Tiada ulasan: