Selasa, 10 Mei 2011

PAS alat DAP: Mahathir makin merapu

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS menganggap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir semakin merapu kerana mendakwa PAS alat DAP.

Beliau dilapor menyatakan perkara itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Umno Cheras.

Mahathir juga mendakwa kewujudan PAS menyebabkan orang Melayu berpecah.

“PAS hendak tanya balik kepada Tun Dr Mahathir kenapa Umno diwujudkan pada tahun 1946, sedangkan sudah ada Parti Kebagsaan Melayu Malaya (PKMM) 1945 yang mewakili orang Melayu,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Ini, katanya menunjukkan Umno juga parti yang ditubuhkan untuk memecah belah orang Melayu atas restu penjajah.

Beliau berkata, buktinya kenapa Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Darurat 1948 sehingga semua parti yang tidak sealiran diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.

Jelasnya, isu PAS alat DAP adalah modal lapuk Umno ketika orang Melayu menolak Umno dan cuba untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi kuda tunggangan MCA, Gerakan dan MIC.

“Siapa yang bagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan?

“Apa bukti PAS alat DAP?” soalnya.

PAS, tambahnya boleh membuktikan pengkhianatan Umno kepada Melayu atas nama Melayu terutama di zaman Mahathir memerintah negara selama 22 tahun.

Katanya, pada 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang tinggal di tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort, 300 ekar tanah rezab Melayu di Pulau Redang Terengganu dijual kepada Vicent Tan.

Nampaknya, kata beliau Mahathir masih cuba untuk membodohkan rakyat kononnya ulama yang berada di dalam Umno menubuh PAS kerana tidak mendapat tempat kerana tidak pandai berbahasa Arab.

“Faktanya ialah ulama keluar untuk menubuhkan PAS kerana teguran ulama mengenai judi tidak diperdulikan, maka ulama merasakan perlu ada jamaah yang bebas daripada Umno supaya Islam terpelihara,” jelasnya.

Beliau menambah, dulu Mahathir menipu rakyat mengatakan PAS ditubuhkan restu penjajah tetapi hakikatnya Umno direstui penjajah.

“PAS ingin mengingatkan kepada Tun Mahathir tidak boleh tipu orang dalam semua masa, insya Allah Pas akan membetulkan fakta yang ditipu oleh Tun supaya rakyat tahu siapa pengkhianat Melayu dan Islam,” katanya.

PAS, ujarnya merasa geli hati apabila Tun memuji perjuangan PAS zaman Dr Burhanudin Helmi dan Datuk Asri, kerana perjuangan mereka betul.

Soalnya, bukankah Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab sehingga PAS ditendang daripada BN, ketika krisis politik di Kelantan.

“Beliaulah orang yang diamanahkan oleh Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut, akhirnya PAS ditendang kerana menentang undang-undang darurat di Parlimen.

“Bukankah waktu itu PAS dipimpin oleh Datuk Asri Muda? Kenapa sekarang baru memuji Datuk Asri?” soalnya lagi.

Tiada ulasan: