Khamis, 5 Mei 2011

Obama tak benar keluar foto bedah siasat Osama

LAPORAN— Agensi



Anggota Barisan Pembela Islam (FPI) mengadakan solat bagi Osama bin Laden di Jakarta semalam dengan menyifatkannya mati syahid. — Foto Reuters

WASHINGTON — Presiden Barack Obama memutuskan untuk tidak mengeluarkan foto-foto jenazah ketua rangkaian pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden, yang mati ditembak pasukan elit Amerika Isnin lalu, kata White House semalam.

Pengumuman itu muncul selepas seorang pegawai kanan pentadbiran memberitahu NBC News mengenai keputusan pihaknya tidak mahu melepaskan foto bedah siasat dan Obama juga mendedahkan pendiriannya ketika temu bual khas bersama program “60 Minutes” CBS semalam.

Media melaporkan bahawa White House telah mempertimbangkan syor mengeluarkan gambar-gambar itu, sebahagian daripada bukti untuk meyakinkan bahawa Osama telah terbunuh ketika serbuan ke atas sebuah rumah agam yang dihuninya di timur laut Pakistan, awal pagi (waktu Malaysia) Isnin lalu.

Ramai sangsi dengan operasi dan laporan kematian walaupun ada gambar awal menunjukkan Osama sudah terbunuh.

Bagaimanapun pegawai-pegawai White House berpandangan, gambar-gambar itu sungguh mengerikan dan boleh mencetuskan rasa tidak senang di kalangan mereka yang melihatnya.

“Adalah penting bagi kami untuk memastikan setiap gambar terperinci seseorang yang ditembak mati di kepala tidak disebarkan sebagai satu tindakan yang boleh mengapi-apikan keganasan baru ataupun sebagai alat propaganda,” kata Obama kepada CBS News, demikian menurut jurucakap White House Jay Carney.

Obama juga dipetik berkata, beliau berpandangan tindakan mengeluarkan gambar terperinci akan menyebabkan risiko ke atas keselamatan nasional.

Ditanya mengenai responsnya berhubung reaksi sesetengah pihak di Pakistan mengatakan Amerika Syarikat berbohong kononnya sudah membunuh Osama, Obama berkata: “Sebenarnya kami sedang memantau reaksi dunia. Tidak ragu-ragu bahawa Osama sudah terbunuh.”

“Sudah pasti tiada keraguan di kalangan Al-Qaeda bahawa dia sudah mati.

“Dan, kami tidak fikir satu gambar sahaja akan membawa perbezaan. Akan ada orang yang menafikannya (kematian Osama,” katanya lagi.

Tiada ulasan: