Sabtu, 14 Mei 2011

Nurul Izzah terima SMS ugutan mahu culik anak perempuannya


Nurul Izzah percaya bahawa ugutan itu bermotifkan politik untuk mengakhiri kerjaya politik ayahnya.
KUALA LUMPUR— Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, beliau menerima mesej SMS yang mengugut anak perempuan berusia tiga tahun akan diculik jika beliau terus memberi sokongan kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu pemberita bahawa individu yang menghantar mesej itu memberi amaran agar tidak lagi memberi sokongan kepada Anwar, yang merupakan ayahnya, dan jika tidak, perlu bersedia menghadapi nasib menimpa kanak-kanak Sharlinie Mohd Nashar tiga tahun lalu.

Sharlinie, 5, diculik pada 2008 dari tapak permainan dekat rumahnya di Petaling Jaya dan sehingga kini masih belum ditemui.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dan anak sulung Anwar percaya bahawa ugutan itu bermotifkan politik untuk mengakhiri kerjaya politik ayahnya.

Anwar juga merupakan Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Orang itu mengugut bahawa anak perempuan saya akan menghadapi nasib yang sama seperti (kes) Sharline. Jika saya terus sokong bapa saya, maka saya tidak boleh menyelamatkan anak saya.

“Dia juga mengugut bahawa jika saya tidak menggesa bapa saya (Anwar) agar berhenti daripada politik, maka sesuatu akan berlaku ke atas anak saya,” kata beliau kepada pemberita selepas membuat aduan di balai polis Dang Wangi di sini pagi ini.

Nurul Izzah berkata beliau menerima SMS pertama pada 11 Mei dan yang kedua pada 12 Mei, yang mengingatkannya tentang mesej ugutan.

“Pada 5 Mei 2011, saya menerima SMS pertama daripada individu itu mengatakan ada sesuatu penting untuk beritahu saya. Orang itu meminta saya menghubungi dia segera. SMS itu dihantar dua kali,” katanya.

“Saya risau tentang keselamatan anak-anak dan keluarga saya. Ini bukan kali pertama, keluarga saya diugut dengan video seks dan (kejadian) sabotaj kereta ayah saya (bulan lalu),” katanya lagi.

Selasa lalu, pemandu Anwar membuat laporan polis bahawa kereta majikannya kemungkinan telah disabotaj dengan sistem brek diusik, kejadian yang dikesan bulan lalu.

Sebulan sebelum itu, “Datuk T” mendedahkan rakaman video seks, yang si pelakunya didakwa Anwar, dengan dipertontonkan kepada wakil media pada 21 Mac lalu.

Tiada ulasan: