Ahad, 29 Mei 2011

NIAT mahu mogok lapar desak Putrajaya tarik balik Interlok


KUALA LUMPUR– Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) mahu mengadakan mogok lapar jika kerajaan tidak memansuhkan novel Interlok, yang menjadi komponen sastera tingkatan lima, yang kontroversinya berterusan hingga kini.

Novel itu kini melalui proses pindaan bahagian-bahagian yang sensitif.

Langkah itu bertujuan membuktikan bahawa NIAT serius dalam pendiriannya menuntut novel tersebut digugurkan.

“Saya ingin memberi amaran kepada kerajaan, jangan memandang rendah terhadap suara rakyat. Mereka tidak tahu apa kita boleh lakukan walaupun jumlah kita sedikit.

“Kita sanggup lakukan mogok lapar. Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar. Tidak makan berhari-hari. Kita akan berjuang habis-habisan sehingga kerajaan menghapuskan novel Interlok ini,” kata Pengerusi NIAT, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim pada sidang media petang tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, bila mogok lapar itu bakal diadakan akan diberitahu kemudian.

Dalam pada itu, Thasleem turut mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar berdebat dengan pihaknya.

Beliau berkata, dirinya tidak gentar untuk berhadapan dengan Muhyiddin semata-mata bagi memastikan Interlok edisi murid itu dapat dihapuskan.

“Saya mencabar TPM untuk berdebat dengan saya bercakap mengenai novel Interlok, adakah ia bagus untuk negara dan bagus dari perspektif Islam,” katanya.

Selain itu, Thasleem juga berkata, terdapat beberapa kejadian yang berlaku terhadap pelajar India sejak novel itu dijadikan komponen sastera di sekolah.

“Seperti di sebuah sekolah menengah di Sungai Buloh, dalam rakaman Youtube, kami dapati terdapat sekumpulan pelajar kaum Melayu memaksa seorang pelajar kaum India cakap ‘Keling Babi’.

“Inilah punca kenapa kami mahu Interlok dihapuskan. Interlok tidak sesuai dijadikan novel pelajar sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S Subramaniam meletakkan jawatan berikutan kegagalan mereka memastikan Interlok dimansuhkan.

Thasleem juga memberitahu, kini pihaknya kini giat menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai Interlok.

“Ramai lagi yang tak faham mengenai Interlok ini. Jadi kami akan jelajah negara untuk memberi penerangan kepada mereka,” ujarnya.

Sebelum ini Muhyiddin berkata, novel Interlok akan kekal digunakan sebagai teks komponen sastera mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif.

Katanya, pindaan itu dibuat selepas panel bebas mengkaji novel Interlok telah mengenal pasti bahagian yang dianggap sensitif itu.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilihnya sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Sebelum ini, beberapa badan mewakili masyarakat India termasuk MIC meminta Putrajaya menarik balik Interlok daripada digunakan sebagai bahan teks.

Tiada ulasan: