Khamis, 26 Mei 2011

Muktamar platform persediaan PAS untuk menggantikan Umno

Mohd Rashidi Hassan


APABILA saf kepimpinan tertinggi PAS melancarkan program 'PAS Ganti Umno', ia seharusnya disambut dengan serius, khususnya dari kalangan ahli serta penyokong PAS di seluruh negara.

Ungkapan 'PAS Ganti Umno' yang diterapkan dalam minda ahli, seharusnya bukan retorik, bukan impian, bukan angan-angan, tetapi ianya adalah pernyataan kesungguhan dan keazaman yang tinggi bagi memastikan ianya menjadi realiti.

Realiti 'PAS Ganti Umno' tidak akan dapat direalisasikan, jika sekiranya ia tidak dimulakan dari dalam PAS itu sendiri.

Dalam erti kata lain, jika pemimpin dan ahli PAS masih di takuk lama, mentaliti masih tidak berubah, pendekatan masih tidak mencapai sasaran, usaha 'PAS Ganti Umno' barangkali terbantut.

Maka menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-57 ini, seluruh kepimpinan dan anggota PAS harus mengerah minda dan mencapai ketetapan, apakah mekanisme atau kaifiat yang harus dilaksanakan PAS bagi memastikan cita-cita ini tercapai.

'PAS Ganti Umno' sebenarnya adalah suatu agenda PAS yang sangat besar. Ia tidak harus dipandang ringan.

'PAS Ganti Umno' bukan sekadar mengganti atau mengambil alih tempatnya sebagai parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara sahaja.

Matlamat dan cita-cita PAS adalah untuk menggantikan tempat Umno sebagai peneraju utama dan pemain utama dalam kerajaan Pakatan Rakyat sewaktu Umno-Barisan Nasional tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Justeru, agenda 'PAS Ganti Umno' harus menjadi agenda penting dalam Muktamar. Apa juga ucapan, perbahasan, usul malah kepada sehingga kepada pemilihan pucuk pimpinan pun, harus dijuruskan ke arah usaha untuk menggantikan Umno.

Pemimpin dan ahli PAS harus disegarkan minda mereka, bahawa selain Umno, tiada parti lain yang boleh diterima orang Melayu-Islam, melainkan PAS sahaja.

Untuk apa Umno harus diganti? Tidak lain dan tidak bukan, hanya kerana Umno sudah menyimpang jauh dari landasan perjuangannya.

Umno harus diganti kerana kepimpinannya sudah rosak. Umno mempunyai pemimpin yang korup serta rakus memperjuangkan kepentingan peribadi.

Menjadi pemimpin Umno, bukan lagi untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, tetapi dijadikan peluang untuk mereka memperkayakan diri, anak-beranak dan kroni.

Perjuangan Umno jauh tersasar kerana di sebalik banyak negeri-negeri yang diterajui mereka berada dalam keadaan yang kritikal dari sudut pentadbiran ekonominya.

Hasil negeri tidak mencukupi. Negeri masih berada dalam tahap kemiskinan, rakyat sukar mencari rezeki, tetapi pemimpinnya kaya raya.

Menjadi anak-beranak Menteri dan Perdana Menteri lebih menguntungkan. Kejayaan Umno yang paling hebat ialah apabila anak-beranak, adik-beradik, anggota keluarga dan kroni PM serta bekas PM boleh menjadi bilionaire, boleh menjadi jutawan.

Nama-nama mereka tersenarai di antara orang Melayu yang paling kaya di Malaysia. Inilah hasil perjuangan Umno.

Kita tanyakan pula kepada Umno. Anda berjaya mengangkat martabat anak-beranak, adik-beradik pemimpin anda menjadi manusia terkaya, tetapi bagaimana dengan rakyat kebanyakan?

Bukankah ramai orang-orang Melayu yang hidupnya dihimpit kesusahan? Hendak membeli susu anak pun tidak mampu. Hendak menyara anak ke sekolah pun terkial-kial. Apatah pula hendak membayar yuran IPT yang begitu tinggi harganya.

Itu belum lagi kalangan Melayu yang tercicir di bidang pendidikan akibat kejahatan dasar PPSMI. Itu belum lagi ramai kalangan Melayu yang tiada tempat dalam sektor ekonomi dan peniagaan akibat amalan segelintir nepotisme dan ali baba.

Itu belum lagi dimasukkan berapa ramai Melayu yang hidup mereka sering dihimpit tekanan akibat kenaikan harga minyak, harga barangan keperluan dapur dan sebagainya.

Perjuangan Umno jauh tersasar kerana mereka tidak lagi dilihat mewakili golongan marhaen. Umno tidak mewakili rakyat kebanyakan. Mereka adalah parti borjois yang dipenuhi korporat serta 'lintah darat.'

Umno tidak boleh lagi diharapkan. Mereka gagal memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam. Perjuangan nasionalisme Umno hanya menjadi alat untuk kepimpinannya memperdayakan orang Melayu untuk terus menyokong mereka.

Justeru usaha 'PAS Ganti Umno' harus diambil serius. Apabila agama, bangsa dan negara sudah rosak akibat gara-gara pemimpin Umno, maka PAS harus tampil untuk menyelamatkan keadaan.

Pada saat ini rakyat, khususnya orang-orang Melayu sedang memerhatikan PAS. Mereka tertanya-tanya, apakah kepimpinannya boleh diharap untuk menggantikan Umno.

Rakyat sedang menilai apakah pucuk kepimpinan PAS menepati ciri-ciri yang mereka harapkan untuk menggalas harapan ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat.

Di atas pundak perwakilan lah segala persoalan ini harus ditemukan jawapannya.

Maka pada Muktamar kali ini, diharapkan perwakilan harus lebih serius dan lebih fokus kerana rakyat menantikan jawapan daripada PAS, apakah PAS layak menggantikan Umno.

Tiada ulasan: