Rabu, 11 Mei 2011

Kristian: Konspirasi Umno-Utusan?

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman mahu Menteri Dalam Negeri disiasat ekoran tindakannya membiarkan penjawat awam di bawahnya serta media khususnya Utusan membuat laporan fitnah dan provokasi perkauman.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi hari ini beliau berkata, Datuk Seri Hishammuddin telah gagal menunaikan tanggungjawab sehingga Utusan sepanjang Mac, April dan Mei tanpa sebarang sekatan mengeluarkan berita fitnah dan lucah khususnya isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut memberi contoh tindakan terbaru akhbar Umno itu yang meletakkan laporan muka depan bertajuk “Kristian agama rasmi?' yang disiar 7 Mei lalu.

Hishammuddin juga jelasnya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap seorang pegawai kanan polis Bukit Aman, yang mendakwa Anwar individu dalam video seks tersebut, sewaktu berceramah kepada guru di sebuah sekolah di Kelantan.

"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ini satu agenda yang di belakangnya Umno, sengaja untuk meniupkan api permusuhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Mereka tahu bukan Islam tidak menyokong BN, mereka terpaksa untuk mendapat simpati dari pengundi Melayu," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa isu tersebut adalah termasuk dalam perancangan Umno menjelang PRU-13 iaitu untuk melihat orang Melayu jauh dari PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya begitu hairan bagaimana begitu banyak akta-akta, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, tiba-tiba semacam ada satu konspirasi.

"Sekarang ini waktu untuk ambil tindakan, bukan untuk merai semua pandangan," katanya.

Beliau juga mendakwa trend yang berlaku hari ini sama seperti apa yang berlaku tahun 1987 apabila ketegangan kaum dimainkan sehingga membawa kepada Operasi Lalang ketika itu.

Dalam operasi itu, sekurang-kurangnya 106 terutama pemimpin pembangkang ditahan.

"Seperti ada kecenderungan ke arah itu," katanya.

Tiada ulasan: