Sabtu, 14 Mei 2011

Kristian-Islam: Polis Pulau Pinang terima laporan ‘variasi lain’

THE MALAYSIAN INSIDER

Khalid enggan mendedahkan kandungan laporan polis yang dibuat pagi tadi. — gambar fail


KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan kandungan laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu di Pulau Pinang berhubung usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi pagi tadi, adalah “variasi lain” dari laporan sebelum ini.

Laporan itu dibuat pagi tadi.

Bagaimanapun Khalid enggan mendedahkan kandungan laporan tersebut dan identiti pengadu yang membuat laporan.

“Saya seru semua pihak jangan membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan jangan membesar-besarkannya,” katanya dipetik Bernama Online.

Khalid ditemui pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ketika ditanya mengapa tiada tindakan terhadap individu atau akhbar-akhbar tertentu yang telah memperbesar perkara ini, beliau berkata, pihaknya memerlukan masa untuk membuat sebarang tindakan.

Khalid berkata polis akan menyiasat secara menyeluruh serta adil dan meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara yang dianggap sensitif dan kini menjadi keutamaan polis.

Khalid berkata, setakat ini beberapa individu telah dipanggil untuk diambil keterangan dan polis akan memanggil individu lain untuk membantu siasatan selain meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil memberi keterangan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihatkan semua pihak termasuk media supaya tidak beremosi dengan menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung laporan Utusan Malaysia yang bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” Sabtu lalu.

Dipetik Bernama, Hishammuddin berkata, pihaknya telah mengarahkan polis untuk menyiasat perkara itu bagi mengetahui kebenaran laporan akhbar berkenaan.

“Jangan kita beremosi dalam isu-isu berhubung agama dan kaum, biar pihak-pihak yang berkenaan khususnya polis menjalankan tugas mereka untuk siasatan mengenai kes ini bagi kita mencari kebenarannya.

“Kalau kita ambil tindakan mengikut emosi dan kita mengikut sentimen rakyat di bawah tapi kita tak tahu apa sebenarnya berlaku, akan ada pelbagai andaian yang timbul,” katanya.

Hishammuddin turut meminta semua akhbar termasuk akhbar berbahasa Cina dan Tamil memainkan peranan untuk membantu negara dengan menceritakan semangat-semangat yang membina dalam isu perkauman dan agama.

“Saya tahu mungkin cerita ini tidak sensasi dan akhbar tak boleh jual, tapi kalau asyik cerita pasal perpecahan, negara kita boleh jadi huru-hara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan MCA hari ini yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan KDN yang hanya mengeluarkan surat teguran terhadap akhbar Utusan Malaysia itu, Hishammuddin berkata itu bukan satu isu, apa yang penting, perkara itu diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu.

“KDN akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai,” katanya.

1 ulasan:

Amuraria berkata...

PODAAAH ITU BUKAN ISU KATA MENTERI DALAM NEGERI ! AKHBAR PANDDY KUTTY MENYEBAR DAKYAH DAN FITNAH TANPA BUKTI YANG MENGANCAM NEGARA TAPI KONON INI BUKAN ISU ! APARA NAK BELA AKHBAR LIDAH UMNO ?