Rabu, 4 Mei 2011

Kes Sarbaini: Polis serah semula kertas siasatan Jumaat


Ahmad Sarbaini Mohamed
KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kematian pegawai Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed, yang telah dikemaskinikan, akan dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya Jumaat ini dan polis tidak menolak kemungkinan saksi-saksi baru dipanggil jika diperlukan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ada kemungkinan saksi-saksi baru akan muncul berikutan hasil soal siasat susulan yang dijalankan baru-baru ini.

“Dalam proses siasatan, ia terbuka... kami tidak pernah hadkan saksi. Jadi, bila keterangan diambil dan timbul nama-nama baru, kita akan teruskan siasatan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

“Proses siasatan tidak akan mati. Dalam siasatan memang ada kemungkinan (akan ada) saksi baru. Jika ada, keterangan saksi baru akan diambil jika ada keperluan.

“Tetapi apa pun, ia masih lagi dalam siasatan kerana kita perlu mengesahkan apa yang dikatakan itu betul,” katanya lagi.

Zulkifli menjelakan, kertas siasatan yang baru diterima pihaknya akan diteliti sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita baru menerima kertas siasatan ini semula dalam dua tiga hari lepas kerana apabila kita menghantar kertas siasatan yang baru, masih terdapat keterangan saksi yang perlu dirakamkan, jadi kemungkinan perkara-perkara baru akan ada dan kita perlu rakamkannya,” katanya.

Mengikut laporan media awal minggu lalu, Jabatan Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan kes kematian Ahmad Sarbaini dan mahu polis menemu bual seorang lagi saksi sebelum menentukan tindakan susulan.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM setelah dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Pada 27 April lalu, Zulkifli berkata, Jabatan Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan kes kematian Ahmad Sarbaini iaitu penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia Ahmad dan mahu polis menemu bual seorang lagi saksi sebelum menentukan tindakan susulan.

Laporan media menyebut, kertas siasatan itu dipulangkan kepada Polis Diraja Malaysia 26 April lalu.

Zulkifli berkata pihaknya telah diminta mendapatkan keterangan daripada seorang lagi saksi sebelum Peguam Negara boleh menentukan tindakan selanjutnya.

Menurut polis, Ahmad Sarbaini meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM di Jalan Cochrane, 6 April lalu.

Menjawab soalan wartawan sama ada kes kematian Ahnad Sarbaini masih lagi menunjukkan ia adalah kematian mengejut, Zulkifli berkata, “Ya, masih lagi mati mengejut.”

Tiada ulasan: