Sabtu, 28 Mei 2011

Kerajaan Negeri Buat Semakan Audit Perbelanjaan MDKS

SELANGOR KINI

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan menjalankan audit khas terhadap semua kontrak yang diberikan kepada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di bawah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagi mengenal pasti punca kelewatan serta melihat sama ada tuntutan pembayaran tersebut dibenarkan menurut garis panduan sedia ada.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Menteri Besar berkata sekiranya didapati MDKS tidak membayar seperti yang sepatutnya kepada kontraktor yang terlibat, kerajaan negeri tidak teragak-agak meminta MDKS menjual aset-aset miliknya untuk melunaskan hutang itu.

“Melalui semakan awal yang dilakukan, kerajaan negeri mendapati MDKS meluluskan perbelanjaan melebihi dari had yang dibenarkan. Ini kerana, kerajaan negeri hanya membenarkan MDKS membelanjakan sejumlah RM3.2 juta untuk kerja-kerja pembersihan seperti yang diputuskan pada 2007,” katanya.

Menurutnya lagi Kerajaan negeri mendapati lebihan perbelanjaan berlaku kerana kontraktor-kontraktor yang terlibat mengenakan kadar caj yang melebihi sepatutnya.

Akibat dari lebihan caj tersebut, MDKS kini mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM18 juta yang tidak dibayar sejak 15 bulan lalu seperti yang dilaporkan media, hari ini.

Perbelanjaan yang melebihi RM3.2 juta adalah tidak sah kerana tiada arahan rasmi oleh kerajaan negeri yang membenarkan MDKS membelanjakan lebih dari jumlah itu.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di MDKS adalah dilantik Alam Flora bukan lantikan kerajaan negeri. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap MDKS dan Ahli-ahli Majlis,” katanya.

Tiada ulasan: