Rabu, 4 Mei 2011

Hentikan kawalan akta yang ketinggalan zaman

Afiq Hizami, pelatih UKM


KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahiri menyeru kerajaan Malaysia supaya menghentikan kawalan undang-undang yang ketinggalan zaman ke atas media di negara ini.

Akta-akta yang beliau maksudkan adalah akta mesin cetak, undang-undang fitnah, akta rahsia rasmi, ISA dan sebagainya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejatuhan indeks kebebasan media di negara ini apabila kedudukan Malaysia terus jatuh dari tangga ke 141 pada tahun 2010 kepada tangga 143 dalam indeks kebebasan media di seluruh dunia tahun ini.

Indeks ini keluarkan sempena Hari Kebebasan Media Sedunia yang jatuh pada 3 Mei setiap tahun di mana Malaysia kini berada di kedudukan ke 143 daripada 166 negara yang dikaji oleh Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders) hari ini.

Kedudukan ini menunjukkan indeks kebebasan media negara ini terus menjunam berbanding tahun lepas di mana Malaysia berada di kudukan ke 141 dunia.

Menurut Hata Wahari yang baru dipecat oleh Kumpulan Utusan kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan mencemar imej syarikat milik Umno itu, kebebasan akhbar mula dibunuh oleh kerajaan apabila Umno memegang tampuk pemerintahan dan akhbar-akhbar Melayu berada di bawah penguasaannya.

Bagi Hatta, undang-undang ini perlu dimansuhkan kerana menyekat kebebasan wartawan untuk menyampaikan berita-berita yang benar.

Selain daripada itu, menurut beliau lagi, gambaran media tempatan dewasa ini lebih berbaur politik, seks dan fitnah ini memberi gambaran fenomena yang negatif yang berlaku dalam dunia media tempatan serta merendahkan kredibiliti wartawan tempatan.

Sementara itu, seorang ahli akademik di sebuah universiti tempatan berkata, fenomena yang berlaku dalam dunia media tempatan pada dewasa ini adalah tidak bebas dan lebih cenderung kepada kesendengan (condong) masing-masing.

Hal ini dapat dilihat akhbar-akhbar tempatan yang menjadi hak milik parti-parti politik tertentu di negara ini.

Oleh itu, sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, beliau tidak percaya akan kebebasan yang ada dalam dunia media tempatan.

Kebanyakkan wartawan tidak boleh bebas menyuarakan pandangan kerana terikat dengan polisi atau kecenderungan politik di sesuatu organisasi akhbar tersebut.

Oleh itu, sikap kebergantungan wartawan menjadikan mereka seperti kerbau dicucukkan tali di hidung, katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa dunia media tempatan adalah tidak adil kerana sesetengah akhbar terutamanya milik Umno hanya menjelaskan keburukan negeri di bawah pemerintahan parti pembangkang dan tidak melaporkan mengenai kemudahan atau kebaikan yang dilakukan oleh negeri-negeri tersebut.

Sempena Hari kebebasan Media Sedunia ini, bagi beliau, kebebasan bukannya bermaksud tiadabatasannya.

"Selagi kita terikat dengan etika hidup dan pegangan agama kita perlu tahu di mana harus kita letakkan kayu ukur kepada kebebasan tersebut.

"Sebagai seorang wartawan hendaklah sentiasa menyampaikan kebenaran, berani dan beretika serta bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai seorang wartawan," kata pensyarah yang enggan namanya disiarkan itu.

Tiada ulasan: