Jumaat, 27 Mei 2011

Halang masuki Sarawak, Pengerusi Bersih saman Taib Mahmud

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan memfailkan saman terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kerana menghalangnya memasuki negeri itu April lalu.

Saman tersebut yang difailkan Isnin lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, turut menamakan kerajaan Malaysia dan Jabatan Imigresen Sarawak, sebagai defenden.

“Apa yang dipersoalkan ialah mereka tidak menyatakan sebarang sebab mengapa saya dihalang dari memasuki Sarawak.

“Tindakan itu jelas merupakan penyalahgunaan kuasa. Ia bertentangan dan mencabuli hak saya seperti yang termaktub dengan perlembagaan,” kata Ambiga dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau dihalang dari memasuki Sarawak pada 15 April, iaitu sehari sebelum hari mengundi pada pilihan raya negeri Sarawak.

Turut hadir ialah Ong Boon Keong, penyelaras rangkaian pemantau pilihan raya Malaysia yang berpangkalan di Pulau Pinang ‘menyertai senarai’ individu yang dihalang dari memasuki Sarawak.

Beliau diarahkan untuk meninggalkan Sarawak selepas ditahan oleh Jabatan Imigresen negeri itu malam tadi.

“Saya tidak dimaklumkan sebarang sebab. Pegawai Imigresen itu menyatakan – ‘ini arahan orang atas’, kata Boon Keong.

Boon Keong menambah, beliau mempunyai permit selama 90 hari untuk berada di negeri itu. Justeru, beliau memaklumkan peguam bagi pihaknya di Sarawak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Imigresen Sarawak.


Pada sidang media yang sama, Boon Keong mendedahkan klip video yang didakwanya sebagai usaha membeli undi oleh Barisan Nasional dalam usaha memancing undi pada pilihan raya negeri yang lalu.

Video 1 minit 34 saat itu memaparkan imej lelaki yang sedang menyusun timbunan wang yang dipercayai akan diedarkan kepada pengundi. Menurut Boon Keng ia dilakukan didalam sebuah rumah panjang di Temin.

“Apakah yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan bukti ini?’soal Boon Keong.

Beliau mendedahkan, tindakan itu sebenarnya adalah penindasan terang-terangan yang dilakukan oleh parti tertentu dalam pilihan raya.

“Ia seolah-olah ‘mengugut’ pengundi untuk cenderung menyokong suatu pihak secara paksa.”kata Boon Keong yang percaya halangan memasuki Sarawak yang dikenakan berkaitan dengan pendedahan yang dibocorkannya.

Boon Keong menambah, kumpulan pemantaunya akan terus menjejak bukti yang diperolehi untuk mendedahkan penyelewengan yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak lalu.

“Kami mempunyai kira-kira 80 sukarelawan yang akan meneruskan siasatan. Tunggu kami dedahkan,” jelasnya.

Tiada ulasan: