Jumaat, 27 Mei 2011

BN tidak naikkan harga RON95 takut kalah PRU 13

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan BN tidak akan menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada ketika ini sebagai satu keputusan yang populis demi mengelakkan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen berkata, ini diikuti dengan kenyataan Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga ahli kabinet dengan mengatakan bahawa “keputusan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95 ini diharap akan terus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan (BN)".

Akhirnya, kata beliau kerajaan BN akur dengan tuntutan rakyat dan strategi Pakatan untuk terus mendesak kerajaan mengekalkan harga bahan api berkenaan berjaya.

Namun, ujarnya jika dibaca kenyataan Ismail, ternyata Kerajaan BN hanya bermain politik kerana tidak berani memberikan jaminan tentang tempoh masa bagi mengekalkan harga sedia ada.

Tambahnya, ini bermakna Kerajaan BN hanya berjanji tidak menaikkannya pada hujung bulan ini aatau awal bulan depan, tapi mungkin kenaikan akan berlaku selepas itu.

Malah, katanya berdasarkan keputusan Kabinet semalam, ramai yang beranggapan bahawa Pilihan raya Umum ke-13 kian hampir dan BN kini sanggup melakukan apa sahaja bagi mengekalkan kuasa mereka.

“DPPWP yakin, rakyat Malaysia lebih bijak dari pemimpin BN dan tahu muslihat mereka yang akan menaikan harga minyak dan barangan lain berkali ganda jika BN kekal memerintah selepas PRU 13,” katanya.

Katanya, kenaikan harga minyak, gula, tepung, beras dan sebagainya yang berkali ganda selepas BN diberikan mandat semula dalam PRU 12 sudah cukup mengajar rakyat akan taktik kotor mereka itu.

Menurutnya, BN harus berani mengakui kegagalan mereka menguruskan sumber ekonomi negara sehingga menyebabkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam menghentikan pengambilan kakitangan baru dan tidak lagi menyambung kontrak kakitangan sementara.

Beliau berkata, banyak projek kerajaan kini berjalan perlahan ekoran sumber kewangan yang terhad kerana bajet besar negara banyak dihabiskan Bn dalam kempen pilihan raya kecil.

Ini, katanya tidak termasuk lagi dengan pembaziran besar-besaran kerajaan yang sudah banyak dibongkar oleh media.

“BN harus bersedia berundur dan tibalah masanya rakyat menerima kepimpinan baru yang sudah lama memahami hasrat dan keinginan rakyat yang mahukan perubahan. Tiada pilihan lain sebagai alternatif, melainkan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

1 ulasan:

satini berkata...

tak kire sape yang nak memimpin..yang penting berpotensi.