Jumaat, 27 Mei 2011

BN Masih minat naikkan harga minyak

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa percaya kerajaan BN masih berniat untuk menaikkan harga minyak dengan menggunakan alasan rasionalisasi subsidi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Rabu lalu bahawa kerajaan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG buat masa ini setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan mendalam dan teliti.

"Saya berpendapat dengan penangguhan kenaikan harga minyak bermaksud Kerajaan Persekutuan mempunyai niat untuk menaikkan harga minyak," kata beliau ketika ditemui di Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam.

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut mendakwa isu sebenar kerajaan ingin menaikkan harga minyak bukan kerana rasionalisasi subsidi yang diwarwarkan namun kerana negara kekurangan wang kerana gagal menguruskannya dengan baik.

Beliau memberi contoh negara pengeluar minyak Mesir dan Oman yang mempunyai harga minyak yang lebih rendah dari Malaysia meskipun negara mereka mempunyai lebih ramai penduduk.

"Dalam isu ini saya rasa bukan isu rasionalisasi subsidi tetapi isunya ialah negara kita kekurangan cash ataupun wang kerana sebab yang lain, bukan kerana subsidi.

"Kalau isu subsisi harga minyak, sebagai negara pengeluar minyak kenapa Mesir dan Oman boleh letakkan harga minyak yang lebih rendah sedangkan mereka mempunyai penduduk yang lebih besar.

"Saya nak buat perbandingan Malaysia dengan negara pengeluar minyak yang lain yang mana Malaysia di nombor 27 dan harga minyak kita ialah RM2.90 seliter.Kita lihat negara pengeluar minyak ke 28 dan 29 Oman dan Mesir, harga di Oman dan Mesir adalah lebih rendah," katanya.

Di Mesir, harga minyak ialah RM1.06 sen seliter dan Omar RM1 seliter.

Justeru katanya kerajaan harus melihat perbandingan harga ini dan memberikan hujah yang lebih kukuh mengenai rasionalisasi subsidi.

"Saya harap kerajaan Malaysia boleh menggunakan perbandingan ini untuk memberikan hujah kepada rakyat Malaysia kenapa mereka membesarkan isu rasionalisasi subsidi," katanya.

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter. Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram.

Kali terakhir harga RON95, diesel dan LPG diselaraskan ialah pada Disember tahun lepas.

Tiada ulasan: