Rabu, 4 Mei 2011

Anak Sosilawati: Kami tidak dididik dengan kemewahan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Mewarisi empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit pada usia baru mencecah 26 tahun, Erni Dekritawati Yuliana Buhari — anak Allayarham Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh Ogos lalu berkata, adik-beradiknya tidak pernah dididik dan dibesarkan dengan “kemewahan.”

“Malah sejak kecil kami adik-beradik tidak pernah dididik dengan kemewahan. Kata mama kesenangan hanya boleh dicapai dengan kerja keras dan tidak ada jalan pintas,” katanya.

Lebih mesra dikenali sebagai “Rita”, Erni Dekritawati mengakui ibunya memang seorang yang tegas, berpendirian dan akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai apa yang diingini.

Sosilawati dibunuh dengan kejam bersama pemandu dan dua rakannya pada Ogos lalu.

Tragedi itu memaksa Rita menggalas tanggungjawab mengemudi syarikat ibunya.

Dalam temu bual dengan Utusan Malaysia, anak sulong itu berkata dia tidak mampu menolak tanggungjawab tersebut apatah setelah menjadi dahan berteduh kepada lima adik-adiknya, Erwan Suwari Ridzuan, 25, Erni Erinawati Sofea, 22, Md Erwan Nasri, 24, Erni Reenilawati, 21 dan Siti Nur Fatimah, 14.

Rita kini dia bertindak sebagai Ketua Pengawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Center Sdn. Bhd, pemegang jenama produk kecantikan Nouvelles Visages (NV).

“Memang dari awal lagi perjalanan hidup saya sudah diatur untuk mewarisi apa yang telah dimulakan arwah mama tetapi saya tidak menjangka seawal ini.

“Apa pun saya bersyukur kerana arwah mama sudah membuka laluan ini untuk saya sejak awal lagi. Sebab itu sebaik menamatkan pengajian peringkat ijazah di UiTM (Universiti Teknologi Mara) pada 2008, mama terus hantar saya ke London untuk ikuti bidang perniagaan.

“Tamat saja pengajian dia suruh saya balik, sehingga angan-angan untuk berkerja di sana buat sementara terpaksa dibatalkan.

“Awal tahun 2010 saya balik ke tanah air dan sekitar ibu sudah mula menyerahkan sedikit demi segala urusan syarikat bagaikan dia tahu dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.

Menurut Rita, ketiadaan Allahyarham Sosilawati semakin dirasai menjelang Hari Ibu yang bakal disambut tidak beberapa hari lagi.

Kalau tahun lalu bersama-sama adik-adiknya yang lain mereka meraikan dengan keluar makan bersama, semua itu kini tinggal kenangan.

“Walaupun sudah hampir sembilan bulan dia pergi, rindu pada arwah mama tak pernah padam. Paling terasa apabila tidak dapat lagi menjamah masakan air tangan mama.

“Arwah mama memang pandai dan suka masak bukan saja untuk anak-anak malah pada rakan-rakannya yang selalu datang ke rumah,” katanya lagi.

“Kalau bulan puasa, meja makan rumah kami akan penuh dengan makanan sebab mama akan masak makanan kegemaran setiap seorang anak-anaknya. Tapi semua itu tinggal kenangan, tiada siapa mampu mengganti tempat mama di hati kami,” kata Rita lagi.

Walaupun baru bergelar usahawan, Rita mengakui dunia perniagaan bukan terlalu asing buatnya.

Malah dia sudah didedahkan dengan dunia tersebut seawal usia remaja lagi apabila kerap disuruh oleh ibunya membantu kerja-kerja di pejabat.

“Itulah cara mama. Dia lebih suka kalau anak-anaknya bermula dari bawah, merasai sendiri kepayahan untuk mencari wang,” katanya.

“Selepas ini mungkin ramai yang beranggapan kerja saya jadi lebih mudah sebab mewarisi nama yang sudah besar, tapi hakikatnya cabaran untuk saya lebih kerana hebat kerana untuk mempertahankan sesuatu kejayaan ada lebih payah daripada membinanya.

“Apa pun saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi bukan saja daripada adik-beradik bahkan seluruh kakitangan NV,” ujarnya Rita.

Lebih penting katanya, kepercayaan daripada pengedar-pengedar NV yang disifatkan sebagai nadi dan tulang belakang kepada kejayaan perniagaan ini.

“Ketika mama ada, tidaklah rasa takut sangat sebab dia ada untuk sokongan dari belakang. Tetapi sekarang saya perlu hadapi seorang diri, jadi saya perlu kuat dan tabah.

“Ada masanya saya juga perlukan seseorang untuk mendapatkan nasihat dan biasanya saya akan rujuk pada abah,” katanya dalam temu bual yang disiarkan hari ini.

Pemindahan ibu pejabat NV ke bangunan sendiri di CyberJaya pada hujung tahun ini merupakan antara projek pertama Rita sebaik mengetuai syarikat tersebut.

Bangunan yang akan dikenali sebagai Wisma NV itu bakal menjadi one stop center yang menempatkan semua kegiatan perniagaan syarikat tersebut termasuk spa yang merupakan antara produk baru mereka.

“Proses pemindahan sudah bermula sedikit demi sedikit dan Insya-Allah akan selesai sepenuhnya pada hujung tahun ini. Memang sudah tiba masanya untuk kami beroperasi di bawah satu bumbung memandangkan tahun depan NV akan menyambut ulang tahun ke 18.

“Insya-Allah selepas ini akan ada banyak lagi projek-projek baru yang akan menyusul,” katanya.

Sebagaimana rakan sebaya lain, Rita juga tidak dapat lari daripada naluri ingin dicintai dan mencintai.

Rita pernah digembar-gemburkan bercinta dengan pembaca berita sebuah stesen televisyen tempatan, namun cerita tersebut tinggal sekadar gosip.

Masih mahu berahsia tentang hati dan perasaan cukup sekadar mengatakan dia kini sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang.

Kata Rita, jejaka yang mula mengisi hatinya sejak tujuh bulan lalu itu sekadar orang biasa.

Belum merancang yang terlalu jauh kerana ingin menumpukan pada perniagaan, Rita berserah pada ketentuan jodoh dan menerima saja apa yang terbaik untuknya.

Ditanya lagi tentang ciri-ciri lelaki pilihan, dia berkata: “Tidak ada ciri-ciri tertentu, memadai seseorang yang sayangkan saya, mengambil berat dan sentiasa ada ketika saya memerlukannya.”

Tiada ulasan: