Isnin, 23 Mei 2011

Akta Kg Baru: Referendum diputus selepas taklimat Putrajaya, kata MAS


KUALA LUMPUR — Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru berkata keperluan mengenai referendum berkaitan isu pembangunan semula kawasan itu termasuk Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 hanya akan diketahui selepas ia dibentang kepada pemilik dan pewaris tanah.

Sebelum ini Putrajaya bercadang mengadakan referendum dimaksudkan bulan ini sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk perbahasan.

Oleh itu kata Setiausaha Agungnya Shamsuri Suradi, rang undang-undang yang sudah siap dipinda akan dibentangkan kepada pemilik dan pewaris tanah bermula minggu ini.

Kelmarin, Shamsuri mengesahkan pihaknya bersama Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Anak-anak Kampung Baru (Pakam) telah bersetuju dengan pindaan yang disyorkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Beliau berkata Putrajaya bersetuju memansuhkan perkara-perkara yang mendapat tentangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Antara peruntukan yang diprotes pemilik dan pewaris ialah berkaitan soal kekebalan perbadanan, pembubaran MAS dan jumlah keanggotaan dalam perbadanan itu.

Justeru kata Shamsuri, kandungan rang undang-undang itu hanya akan dikongsi bersama pemilik dan pewaris tanah sahaja bagi mengelakkan campur tangan pihak luar.

Kata beliau, keputusan sama ada pemilik dan pewaris tanah bersetuju dengan rang undang-undang itu akan diketahui sebaik sahaja ia dibentangkan.

“Sebab itu kita hanya panggil pemilik dan pewaris tanah untuk bentangkan rang undang-undang ini, dari situ mungkin kita boleh lihat sama ada mereka setuju atau tidak.

“Mungkin ada yang setuju dan ada juga yang tidak akan setuju, kami hanya jelaskan kepada mereka... apa-apa keputusan lain biarlah mereka yang putuskan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata Shamsuri, pembentangan itu akan dibuat pihaknya, PPKB, Pakam dan wakil kementerian.

Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu bagi membolehkan penubuhan sebuah perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru (gambar fail).

Bagaimanapun rang undang-undang itu yang dijadual untuk dikemukakan buat bacaan kali kedua ditangguh sehingga Jun ini bagi membolehkan beberapa klausa diperhalusi.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 111 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar.

Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 penduduk.

Tiada ulasan: