Sabtu, 2 April 2011

Video seks: PKR gesa IGP tahan tiga ‘Datuk T’

TERKINI


KUALA LUMPUR— PKR mengulangi desakannya agar polis segera menahan ketiga-tiga “Datuk T” yang awal minggu lalu mengaku bertanggungjawab mempertontonkan video seks kepada umum, yang didakwa melibatkan aksi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah menegaskan pengesahan ketulenan video seks itu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pagi tadi tidak membawa perubahan senario tentang skandal tersebut.

“Kesalahan yang sedang disoal siasat ialah pemilikan dan pengedaran pornografi... tetapi mengapa anda memfokus soal ketulenan,” kata beliau.

Sivarasa berkata, ketiga-tiga “Datuk T” seharusnya telah didakwa sebaik sahaja mereka mengaku bertanggungjawab mempertontonkannya,” kata beliau.

Sivarasa, yang juga peguam PKR berkata siasatan polis setakat ini menunjukkan ada usaha bermotifkan politik untuk merosakkan kredibiliti Anwar.

“Video lucah adalah satu kesalahan sama ada ia tulen ataupun sebaliknya,” kata Sivarasa hari ini.

Pagi tadi, Ismail berkata pakar-pakar tempatan telah mengesahkan bahawa rakaman video seks, yang didedahkan oleh “Datuk T” awal minggu lalu, bukan sesuatu yang direka atau dipalsukan.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti ahli politik yang didakwa terlibat dalam adegan seks dalam rakaman video seks itu.

Ismail berkata ia adalah hasil laporan pakar yang telah menyiasat kes tersebut dan kertas siasatan akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Pada 23 Mac lalu, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengaku bahawa beliaulah yang mempertontonkan video itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara.

Shazryl juga mendedahkan bahawa gelaran ‘‘Datuk T’’ merujuk kepada tiga sahabat yang membuat pendedahan rakaman video seks itu, yang sebenarnya bermakna ‘‘trio’’ iaitu beliau sendiri, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Polis telah menubuhkan satu pasukan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

Polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Siasatan itu dibuat ekoran laporan polis oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa yang menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video berkenaan.

Sambil mendakwa kenyataan Ketua Polis Negara bukan sesuatu yang mengejutkan PKR, Sivarasa berkata partinya sudah mempunyai dua teori sama ada video itu direka atau sebaliknya.

“Sekarang IGP berkata ia tulen, tak mengapa. Orang dalam video itu macam Anwar tetapi itu bukan beliau, itu sudah pasti... beliau dari awal lagi telah mengeluarkan kenyataan keras mengenai ini,” kata bekas naib presiden PKR ini.

Dalam pada itu menerusi kenyataan berasingan, Naib Presiden PKR N Surendran pula berkata kenyataan Ismail mengenai pengesahan ketulenan video seks tersebut tidak membuktikan yang Anwar adalah individu yang muncul rakaman.

Sehubungan itu kata beliau, apa yang rakyat ingin tahu ialah mengapa polis dan Jabatan Peguam Negara belum mengenakan prosiding jenayah ke atas tiga “Datuk T” terbabit.

“Mengapa layanan khas diberikan kepada pihak-pihak ini? Adalah sesuatu yang luar biasa, IGP membuat pengumuman berhubung aspek ketulenan video meskipun turut mengakui siasatan mengenai video seks masih belum lengkap,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: