Selasa, 5 April 2011

Video seks: AMK failkan aduan qazaf terhadap ‘Datuk T’

KUALA LUMPUR– Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini memfailkan aduan qazaf terhadap “Datuk T” kerana menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam perbuatan zina melalui pendedahan rakaman video seks 21 Mac lalu.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, aduan qazaf itu dibuat terhadap bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim yang telah menggemparkan negara apabila bertindak menayangkan rakaman video seks itu kepada media.

Selain Shamsul Iskandar, turut memfailkan aduan qazaf terhadap “Datuk T” ialah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan Mohd Hamdi Mohd Syed.

“Ketiga-tiga trio lucah ini telah menuduh Anwar dengan tuduhan berzina melalui rakaman video seks.

“Dalam undang-undang syariah, dalam tuduhan zina kalau tiada empat saksi kita boleh lakukan prosiding qazaf,” kata Shamsul Iskandar selepas membuat aduan, yang diterima oleh Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Siti Nor Jihan Saleh.

Kata Shamsul Iskandar, beliau menyerahkan maklumat dan dokumen termasuk keratan akhbar yang berkaitan dengan pengakuan “Datuk T” dalam pendedahan rakaman video seks itu.

“Saya dah berikan maklumat dan aduan... saya juga memberikan dokumen termasuk keratan akhbar di mana Abdul Rahim mengakui beliau terlibat dalam pendedahan rakaman video seks itu.

“Kita akan ikut saluran undang-undang, jika ada peruntukan maka kita akan ikut, sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berdiam diri dalam perkara ini jelas mereka adalah suspek dan untuk menafikan tuduhan ini kerajaan perlu ambil tindakan kerana nampaknya sehingga hari ini masih tidak sebarang tindakan terhadap Datuk T,” katanya.

Tambah Shamsul Iskandar, beliau akan dipanggil sekali lagi pada 18 April ini untuk memberikan keterangan.

“Saya akan beri kerjasama sekiranya dipanggil,” jawabnya ringkas.

Ekoran pendedahan rakaman video seks yang diadakan di hotel Carcosa Seri Negara, Shamsul Iskandar berkata, pihaknya menuntut agar tindakan tegas dan segera diambil terhadap “Datuk T”.

Tiada ulasan: