Khamis, 14 April 2011

‘TUAN RESIDEN’ MAHU SAMAN SABAHKINI.NET?



Oleh : SURIATI MAHMUD

SETELAH gagal menegak benang basah, Pegawai Daerah Lahad Datu yang berperangai seperti ‘Tuan Residen Inggeris’ telah menyalahguna kuasa beliau dan menjatuhkan imej perkhidmatan awam; bukan sahaja melalui laman Facebook beliau yang memaparkan kegiatan beliau yang suka ‘Jalan-Jalan Curi Makan’; malah membuat kenyataan akhbar yang bercanggah dengan tata etika pegawai awam kerana menyentuh dasar kerajaan.

Walaupun Pegawai Daearh tersebut, Zulkifli Haji Nasir telah membuat sidang akhbar, namun kenyataan ‘tidak bermoral’ beliau hanya disiarkan oleh dua akhbar Cina seolah-olah seluruh penduduk Lahad Datu mahir membaca tulisan Cina dengan tidak menghantar kenyataan beliau kepada Sabahkini.net untuk disiarkan.

Menurut siaran akhbar tersebut, Zulkifli menuduh Sabahkini.net cuba ‘menyerang’ dua Adun iaitu Lahad Datu dan Tungku melalui artikel yang didakwa tidak berasas dan berniat jahat.

“Kawasan Lahad Datu ini kecil dan semua orang kenal Kunsul Nahul. Penghapusan lesen penyelenggaraan Terminal Bas Lahad Datu tujuh bulan lalu adalah keputusan ahli mesyuarat dan bukannya keputusan saya seorang,” kata Zulkifli.

Memandangkan Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (Lahad Datu) (PPBBS) beroperasi di atas tanah Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) tanpa kelulusan, maka MDLD berhak untuk tidak membaharui lesen mengendali terminal berkenaan.

“Hal ini telah lama berlarutan, maka MDLD mengambil keputusan dan tindakan menamatkan penyewaan terminal bas demi faedah semua pihak,” ujar Zulkifli yang kesal kerana Sabahkini.net menuduh beliau menggunakan kuasa veto, mengamalkan rasuah dan gila kuasa semata-mata untuk merosakkan nama baik MDLD dan peribadi beliau.

Pada 4 April lalu, Zulkifli telah membuat laporan polis terhadap Sabahkini.net dan Kunsul Nahul dengan menyerahkan semua dokumen berkaitan untuk membantu siasatan polis demi kebaikan semua pihak.

Kata Zulkifli, syarikat bas telah menggunakan nama PPBBS untuk mendapatkan lesen mengendali terminal bas berkenaan namun telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui sejak 2009.

“Kunsul adalah bekas Setiausaha PPBBS dan kini beliau terlibat dalam syarikat bas tersebut. Jika beliau mendakwa ada surat kelulusan, sila kemukakan. Saya akan sambungkan lesen dengan syarat robohkan semua struktur yang didirikan tanpa kelulusan untuk ruang yang lebih besar bagi bas,” ujar Zulkifli yang menyatakan bahawa MDLD telah lama ingin mengambil balik tapak itu untuk merobohkan bangunan yang didirikan tanpa izin dan mengeluarkan tender untuk pembangunan.

Kata Zulkifli lagi, fasa pertama telah dilancarkan dan kini memasuki fasa kedua iaitu akan merobohkan bangunan tanpa izin dengan memberi notis selama dua minggu tetapi syarikat bas tidak menghiraukan arahan MDLD walaupun mereka beroperasi secara haram sejak 2009.

“Bas mini parking secara tidak teratur dan ambil tempat yang banyak telah menimbulkan kesesakan dan masalah. MDLD terpaksa selesaikan masalah ini dengan segera bagi mengatasi masalah kesesakan, kekotoran dan kekurangan tempat letak kereta,” kata Zulkifli yang meminta polis menjalankan siasatan tegas terhadap Sabahkini.net.

Tiada ulasan: