Selasa, 26 April 2011

Tindakan TPM Pertahan Utusan Malaysia Berasas

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad



SHAH ALAM : Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hata Wahari tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan tidak boleh menghalang akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional(BN) Utusan Malaysia daripada menyiarkan apa jua bentuk laporannya kerana ia sememangnya diwujudkan hanya untuk kepentingan politik parti itu sahaja.

Malah katanya, selain menghalalkan apa sahaja yang dilaporkannya Utusan Malaysia juga hanya berperanan membawa suara-suara pemimpinnya bukan suara rakyat seperti yang digembar-gemburkannya sebelum ini.

"Apa sahaja yang diterbitkan Utusan Malaysia merupakan memanifestasikan pemikiran pemimpim Umno-BN yang lebih menjurus kepada agenda mereka serta apa yang dihajati oleh setiap kepimpinan parti itu sendiri," Kata Hata Wahari ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Hata berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa Utusan Malaysia mewakili kepentingan orang Melayu dan tindakan memulau akhbar milik Umno itu hanya akan membataskan suara kominiti itu.

Jelas Hata, tidak hairanlah mengapa tiada tindakan yang diambil terhadap akhbar tersebut setiap kali ia mengeluarkan laporan-laporan berbentuk rasis serta secara terang-terangan telah meniup semangat perkauman.

"Utusan diwujudkan untuk kepentingan Umno semata-mata dan ia lebih jelas sekarang melalui setiap laporan yang diterbitkan akhbar itu. Tiada siapa yang boleh mengambil tindakatan diatas setiap laporan yang disiarkan kerana pemimpin Umno-BN terlebih dulu telah menghalalkannya," ujarnya.

Hata berkata, beliau tidak hairan sekiranya akhbar itu secara terus-menerus mengamalkan sikap dan gaya penulisan sebegitu kerana ia terlebih dulu telah dilabel oleh rakyat sebagai media kawalan Umno-BN.

"Saya tidak terkejut langsung dengan apa yang berlaku ini kerana saya terlebih dulu telah mengesan semangat perkauman yang sedia ada pada media kawalan Umno-BN ini. Berdasarkan kenyataan Muhyiddin ini, saya yakin akhbar ini tidak akan lama dan ia akan terkubur terus sekiranya pemimpin-pemimpin parti itu tidak mengambil sebarang tindakan ke atas editor-editor Utusan Malaysia itu," tegasnya.

Tambah Hata, Utusan bukan sahaja mempunyai kekebalan namun mempunyai pelbagai imuniti.

Malah, beliau percaya setiap ketua pengarangnya mempunyai potensi yang tinggi untuk dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih besar serta berkemungkinan besar dikurniakan pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang dihubungi turut menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai satu sandiwara lakonan pemimpin Umno-BN bersama MCA, seperti mana yang berlaku pada sekitar tahun 1987.

Malah, Muhyiddin melihat MCA ini hanyalah alat yang mudah dipergunakan tanpa harga diri oleh pemimpin-pemimpin parti itu.

"Bila dia (Muhyiddin) mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada MCA, ini sekali lagi drama Melayu lawan Cina yang pernah dimainkan oleh UMNO dan MCA sebelum ini di dalam "OPS Lalang" yang telah menangkap kesemua pemimpin-pemimpin pembangkang.

"Namun sandiwara itu tidak berhasil, malah telah memperlihatkan bagaimana Umno memperlekehkan MCA yang seolah-olah tidak boleh mengeluarkan sebarang pandangan sendiri dalam apa jua permasalahan. Tindakan MCA memboikot akhbar itu juga secara terang tidak akan memberi kesan kepada parti itu.

"Saya rasa kalau MCA mempunyai maruah adalah lebih baik mereka keluar daripada perikatan ini,"katanya dengan nada sinis.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak fikir gesaan beberapa pemimpin MCA untuk memboikot Utusan Malaysia akan berkesan kerana ia terpulang kepada pembacanya.

"Soal baca ke tidak, ini hak individulah. Kalau dia nak buat, buatlah. Tetapi saya tidak fikir ini berkesan. Ia tidak akan berkesan sama sekali.

"Lagi orang kata jangan baca, lagi orang hendak baca. (Mereka tertanya-tanya) pasal apa? Takutkah?" katanya.

MCA sebelum ini dilaporkan menggesa Utusan dipulaukan kerana mencadangkan gerakan '1Melayu, 1Bumi' yang dianggap parti itu untuk menghalalkan diskriminasi kaum.

Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok berkata, konsep itu bertujuan menghukum masyarakat Cina kerana melaksanakan hak demokrasi dengan membuat pilihan semasa pilihan raya

Tiada ulasan: