Sabtu, 16 April 2011

Tidak Mustahil Hata Akan Dipecat, Kata Said Zahari

TVS NEWS



SHAH ALAM : Utusan Melayu (M) Berhad nyata tidak menyenangi individu yang lantang mengkritik akhbar milikan Umno itu, apatah lagi kalau ia datangnya dari pekerja mereka sendiri.

Justeru, tindakan tegas bakal dikenakan ke atas wartawan kanannya, Hata Wahari yang juga presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Menurut bekas Ketua Pengarang Utusan, Said Zahari ketika dihubungi Tv Selangor, majikan kepada Hata itu kini mencari jalan untuk memecat Hata.

" Sebab mereka ternyata sudah tidak senang dengan kedudukan Hata dalam Utusan dan dia menjadi Presiden NUJ serta tindakan-tindakannya kebelakangan ini sudah tidak disenangi oleh Utusan Melayu. Jadi Utusan mencari alasan dengan mempergunakan hal-hal sebegini supaya dapat menyingkirkan Hata,"kata Said.

Panel siasatan dalaman Utusan semalam mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media.

Panel berkenaan difahamkan akan mengemukakan syor kepada pengurusan Utusan Melayu bagi mengambil tindakan ke atas Hata.

Karektor Hata yang sering mengutarakan pandangan berbaur sinis terhadap akhbar berkenaan berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia, kejatuhan edaran dan 'kelemahan' akhbar berkenaan, nyata tidak disenangi.

Mengulas senario itu, Said tidak menolak kemungkinan Hata diperlakukan sedemikian untuk menutup keghairahan akhbar tersebut dalam melaporkan berita-berita yang bersifat pro-kerajaan dan menolak segala kebenaran yang berlaku dalam negara.

"Saya fikir Hata ini menjadi mangsa kepada keadaan sebab kedudukannya sebagai Presiden NUJ dan tindakan-tindakan yang diambil banyak yang tidak disenangi Utusan.

"Kalau dipandang dari segi tindakan Hata tu, dia sebagai presiden wartawan (persatuan wartawan) tidak bertentangan dengan kepentingan Utusan, dia hanya menjalankan tugas sebagai presiden persatuan,"jelas Said.

Hata telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh pengurusan Utusan.

Dalam satu siasatan panel berkenaan pada awal bulan lalu, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, Datuk Aziz Ishak berkata wartawan kanannya itu mempunyai niat jahat terhadap akhbar berkenaan.

Tiada ulasan: