Rabu, 6 April 2011

Teka-teki, teka-tekup politik Malaysia

Isu video lucah antara teka teki yang menjadi topik sembang-sembang.



Dalam mengikuti perkembangan semasa politik negara, pastinya kita tidak terlepas dengan pelbagai teka-teki politik yang kadang-kala jawapannya mudah diramalkan dan ada juga di luar jangkaan walaupun berpandukan sifir-sifir politik mahupun analisa tertentu.

Antara teka-teki politik terkini yang menjadi topik sembang-sembang di ‘coffee house’ atau lobi-lobi hotel lima bintang dan kedai kopi kaki lima pada masa ini tentunya banyak berkisar dengan pilihan raya dan isu video lucah yang sedang hangat diperkatakan.

Ketika sembang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semakin hangat diperkatakan, tiba-tiba muncul pula teka-teki bonus, siapakah

Datuk Trio dibelakang penayangan video lucah yang jawapannya telah pun diketahui umum.

Setelah umum mengetahui jawapan kepada teka-teki indentiti Datuk Trio dan ketulenan video lucah yang menjadi perdebatan hangat itu, persoalan siapakah identiti lelaki dalam video lucah masih diperdebatkan

Bagaimanapun bagi sesetengah media arus perdana, mereka lebih berminat untuk menjawab teka-teki ketulenan video berbanding ketulenan pelakonnya.

Selain itu, masyarakat juga masih berteka-teki adakah Datuk Trio akan didakwa di mahkamah meskipun telah mengakui memiliki dan menayangkan video lucah yang ternyata merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara ini.

Ketika gelombang reformasi tercetus dengan kuat sekaligus ramai peneka meramalkan Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya bakal kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999, ternyata gelombang tersebut tidaklah sekuat mana.

Walaupun ketika itu Barisan Alternatif (BA) berjaya menawan Terengganu dan berjaya meningkatkan sokongan pengundi secara keseluruhan, namun kekecewaan jelas di pihak BA.

Dalam PRU-11 pada 2004 pula, ketika BA mengharapkan gelombang reformasi masih lagi menderu, sekali lagi jawapan teka-teki politik negara sedikit tersasar bagi kebanyakan peramal apabila BN ketika itu memperolehi kemenangan terbesar dalam sejarah pilihan rayanya.

Teka-teki paling mengelirukan tentunya teka-teki PRU-12 lalu apabila BN kehilangan empat negeri di samping gagal merampas Kelantan dari PAS dan kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen.

Jawapan kepada teka-teki PRU-12 ini bukan sahaja kejutan kepada pemimpin BN, malahan bagi para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sendiri juga tidak bersedia menghadapi kejutan yang memihak kepada mereka itu.

Teka-teki tarikh pilihan raya

Tidak seperti kebanyakan negara lain yang tarikh pilihan raya bukanlah
satu teka-teki, di negara ini tarikh pilihan raya menjadi permainan teka-teki yang jawapannya hanya di tangan seorang daripada 27 juta manusia di negara ini.

Dalam konteks ini, secara logiknya masih belum ada Perdana Menteri (PM) negara ini yang ‘gentleman’ dan berkeyakinan untuk mengumumkan tarikh pembubaran parlimen sekurang-kurangnya sebulan lebih awal dari tarikh pembubaran yang dipilih.

Lebih teruk lagi, ada di antara PM ini dengan wajah selamba memberitahu wartawan “saya belum ada ilham tarikh pilihan raya” atau “bukan masa terdekat” tatkala pada masa kurang sehari sahaja lagi sebelum beliau mengumumkan pembubaran parlimen – satu lakonan yang hebat!

Hanya selang sehari atau beberapa jam sahaja, di saat sidang akhbar untuk mengumumkan pembubaran parlimen, seperti terlihat kepuasan awal di raut wajah PM apabila tiada peneka yang berjaya menjawab teka-teki dengan tepat!

Di negara ini, teka-teki tarikh pilihan raya ini akan terus menjadi tradisi bagi setiap PM dan amalan yang sama juga mungkin turut diteruskan oleh pemimpin-pemimpin PR sekiranya mereka benar-benar berjaya menakluki Putrajaya nanti.

Pada masa ini, selepas kita diberikan jawapan kepada teka-teki tarik PRN Sarawak, muncul pula teka-teki siapakah calon-calon pilihan parti bertanding nanti.

Setelah parti BN yang menguasai pentadbiran Sarawak mengumumkan calon-calonnya baru-baru ini pun, kita masih lagi dibiarkan berteka-teki siapa pula bakal mengisi calon bagi kerusi Dun Ba’kelalan.

Manakala teka-teki calon-calon bertanding di pihak PR pula sekurang-kurangnya hingga ke hari ini masih belum ada jawapan yang sahih melainkan ramalan dan jawapan-jawapan yang bocor.

Pada masa ini juga, teka-teki siapakah yang bakal dinobatkan sebagai pengganti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud selepas PRN nanti juga mula bermain-main di minda masyarakat Sarawak khususnya.

Sudah semestinya, teka-teki paling mendebarkan pada masa ini, adakah BN dapat mengekalkan prestasinya atau mampukah PR meneruskan kesinambungan tsunami politik dalam PRU-12 pada 2008 lalu.

Selesai PRN Sarawak nanti, kita kembali berteka-teki dengan tarikh PRU ke 13 dengan menjadikan keputusan PRN Sarawak sebagai klu terbaru.

Bukan itu sahaja, keputusan PRN itu nanti juga dijadikan pengukur kekuatan parti-parti yang bakal bertanding dalam PRU nanti.

Sudah tentu juga, ramai yang akan berteka-teki adakah PR berjaya menumbangkan BN dalam PRU-13 nanti atau siapakah PM selepas Datuk Seri Najib Tun Razak nanti.

Percayalah, selepas jawapan kepada teka-teki politik ini diperolehi, teka-teki yang sama ini akan diulang-ulang semula dan ia semakin bertambah dengan teka-teki bonus tetapi akan terus mengundang minat para peneka.

Tiada ulasan: