Ahad, 17 April 2011

Taib angkat sumpah kekal ketua menteri Sarawak

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING – Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketua menteri Sarawak yang paling lama memegang jawatan itu, mengangkat sumpah untuk penggal baru malam ini – tidak sampai sejam selepas Barisan Nasional (BN) mencatatkan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri ke-10.

BN Sarawak memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri sekitar 9.45 malam manakala majlis mengangkat sumpah diadakan kira-kira 45 minit kemudian.

Taib, 75, menyandang jawatan itu sejak 1981 dan genap 30 tahun 26 Mac lalu.

Pada pilihan raya negeri hari ini BN Sarawak pimpinannya mendapat 55 kerusi, Pakatan Rakyat 15 manakala Bebas satu.

Ketua Menteri keempat Sarawak itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di sini.

Sementara majlis mengangkat sumpah dengan cepat ini mengejutkan ramai, isu peralihan kuasa melibatkan Taib ini menjadi bahan kempen pilihan raya kali ini.

Pembangkang menggesa beliau mengumumkan penggantinya dan tarikh peralihan kuasa.

Ahad lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa pelan peralihan kuasa akan dilakukan dengan segera selepas pilihan raya negeri.

Bagaimanapun, pada keesokan hari, Taib berkata peralihan kuasa akan diadakan dalam beberapa “tahun lagi.”

Taib yang lahir pada Mei 1936 di Miri juga merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen Barisan Nasional. Beliau berketurunan Melanau.

PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang diperuntukkan kepadanya kali ini.

Taib juga merupakan ahli Parlimen kedua paling lama berkhidmat di Malaysia selepas Tengku Razaleigh Hamzah dengan menjadi ahli Parlimen Malaysia selama 38 tahun tetapi kerusinya diambil alih oleh anaknya pada 2008.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Laila Taib yang meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009 dan 18 Disember lalu telah mengahwini seorang wanita Lebanon berusia lingkungan 30-an.

Tiada ulasan: