Jumaat, 1 April 2011

Tadahan air: Pahang tidak endah perasaan rakyat

Harakahdaily

TEMERLOH: Kerajaan Pahang hari ini dikritik kerana tidak mengendahkan perasaan rakyat sekitar kawasan Jerantut apabila meluluskan kawasan tadahan air untuk penebangan balak.

“PAS membantah keras kelulusan kawasan tadahan air yang telah digazetkan sebagai hutan simpan Jerantut (tambahan), petak 11A, 3A dan 15A sebagai kawasan pembalakan. Kawasan tadahan air ini melibatkan berpuluh kampung dan akan memberi kesan langsung kepada ribuan penduduk,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata kerajaan Pahang tidak sepatutnya meluluskan kawasan untuk pembalakan yang telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air kerana ia akan mendatangkan risiko kekeringan sumber air, pencemaran sumber air penduduk dan juga kerosakan alam sekitar yang menjadi sumber pendapatan utama bagi masyarakat asli di sekitar kawasan tersebut.

“Jangan hanya tengok atas pelan dan perasaan rakyat langsung tidak diendahkan.

“PAS mendesak kerajaan membatalkan kelulusan ini atau rakyat akan mengadakan demo sekiranya bantahan ini tidak dipedulikan,” tegasnya.

Tiada ulasan: