Jumaat, 1 April 2011

SPR: Tidak adil TI-M dakwa kami tak boleh diharap


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan “tidak adil” bagi Transparency International Malaysia (TI-M) mendakwa pihaknya sebagai tidak boleh “diharap” sepenuhnya dalam memastikan proses pilihan raya negara ini dikendalikan dengan bebas dan adil.

Sambil melahirkan rasa hairan dengan kenyataan TI-M itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau hairan kerana badan pemantau itu mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Beliau yang juga bekas setiausaha SPR berkata pihaknya menjalankan kedua-dua tugas menguruskan pilihan raya dan juga menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan.

“Saya hairan kerana TI-M sedar dan faham bahawa tanggungjawab memantau dan membanteras apa-apa perbuatan rasuah termasuk rasuah politik dan rasuah semasa pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa SPRM,” kata beliau dalam kenyataan SMS kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dalam kenyataannya semalam, TI-M mendakwa SPR tidak boleh “diharap” sepenuhnya dalam memastikan proses pilihan raya negara ini adalah bebas dan adil.

Presidennya Datuk Paul Low berkata, SPR telah gagal untuk memperlihatkan agensi itu adalah “bebas” dalam menjalankan fungsinya meskipun mereka dijamin autonomi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh harap sepenuhnya pada SPR dalam menguatkuasakan undang-undang (pilihan raya), mereka kelihatan tidak bebas dalam tindakan mereka,” kata beliau.

Ini kerana menurut beliau, undang-undang pilihan raya sedia ada tidak dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin dan banyak kesalahan pilihan raya tidak dikenakan hukuman yang sewajarnya.

“SPR hanya menguruskan proses pilihan raya, bukannya menguatkuasakan (undang-undang),” kata Low semalam ketika negara bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak bulan depan.

Hari penamaan calon adalah 6 April manakala pengundian akan diadakan 16 April.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) secara konsisten menuduh SPR tidak menjalankan fungsinya dengan bebas dalam kebanyakan pilihan raya kecil, menyebabkan banyak aduan dikemukakan terhadap suruhanjaya tersebut.

Bagaimanapun SPR mempertahankan ia tidak memihak Barisan Nasional dan menolak dakwaan ia tidak bebas.

Dalam penjelasannya, Wan Ahmad juga berkata, SPR memang memandang serius dan berusaha untuk membanteras apa jua bentuk rasuah dalam pilihan raya, sebab itu suruhanjaya itu bekerjasama dengan SPRM dalam hal-hal berkenaan dan meminta mereka memantau apa jua aktiviti rasuah semasa pilihan raya.

“Benar bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ada seksyen-seksyen tentang rasuah, tapi apa-apa perbuatan rasuah atau aduan-aduan tentangnya SPR minta bantuan atau serah kepada tanggungjawab SPRM.

“Sama juga kalau perbuatan-perbuatan jenayah dan hal-hal keselamatan berhubung kait pilihan raya adalah di bawah bidang urusan polis,” katanya.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, katanya, SPR merupakan badan yang menguruskan dan menjalankan pilihan raya.

“Semua undang-undang penjalanan dan urusan pilihan raya SPR laksanakan dan kuat kuasakan.

“ Tentang penguatkuasaan hal-hal rasuah... SPRM merupakan agensi yang bertanggungjawab mengenainya. Jadi tidak tepat dan tak adil pihak TI membuat kenyataan seperti,” katanya lagi.

Tiada ulasan: