Sabtu, 16 April 2011

SPR: 30 peratus undi hingga 11 pagi



Salah seorang pengundi yang menunaikan tanggungjawabnya di Dewan Datu Merpati Jepang. — Foto oleh Choo Choy May
KUCHING — Kira-kira 30 peratus daripada lebih 970,000 pengundi yang layak telah mengundi dalam tiga jam pertama hari ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian bermula 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat-peringkat mulai tengah hari ini sehingga 5 petang.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata proses pengundian di Miri berjalan dengan lancar.

“Cuaca di Miri amat baik, lima pusat yang saya lawati pengundian rancak dan tak ada kesesakan di luar pusat,” katanya yang memantau keadaan di Miri.

“Bagi empat DUN kawasan bandar peratusan sehingga 12 tengah hari OK, tinggi 45 peratus... mungkin keadaan yang serupa bagi semua DUN di kawasan bandar di seluruh Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, di pedalaman dilapor perlahan, kemungkinan masalah pengangkutan.

“Di Miri tiada kekecohan di pusat-pusat mengundi... mungkin para penyokong parti tumpu di kawasan-kawasan lain yang sengit di Kuching dan lain-lain.

“Proses terkawal aman dan lancar,” kata beliau lagi.

Dalam pada maklumat Bernama Online menyebut, seramai 233,134 pengundi atau 21.72 peratus telah keluar mengundi pada pilihan raya negeri Sarawak setakat pukul 12 tengah hari.

Laporan itu menyebut peratusan itu dijangka lebih tinggi selepas SPR mengemas kini maklumat yang diterima dari semua pusat mengundi di seluruh negeri.

Ia juga menyebut bahawa tinjauan di beberapa pusat mengundi mendapati proses pengundian perlahan sedikit menjelang tengah hari, kemungkinan kerana cuaca panas, setelah proses pengundian rancak pada sebelah pagi.

Di kawasan Dewan Undangan Negeri Piasau di Miri, 37.75 peratus daripada pengundi telah melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga 11 pagi.

Kawasan yang mempunyai 16,600 pengundi ditandingi oleh Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri George Chan dari Barisan Nasional (BN) yang ditentang calon DAP Ling Sie Kiong.

Di Kuching, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengundi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Merpati Jepang di Satok, pada pukul 11.25 pagi bagi kerusi DUN Satok.

Ketika diminta mengulas proses pengundian setakat ini, Taib berkata: “Setakat ini semuanya baik, kami di Sarawak memastikan semuanya aman semasa kami mengundi.”

Taib, yang merupakan penyandang kerusi DUN Balingian, diiringi penyandang kerusi DUN Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari, yang sebelum itu mengundi di pusat mengundi yang sama pada 8.40 pagi, akan mempertahankan kerusi majoriti Melayu itu untuk kali kelapan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut meluangkan masa bertemu dengan pengundi di luar pusat mengundi Merpati Jepang, kata laporan itu.

Tiada ulasan: