Selasa, 5 April 2011

Skandal PKFZ : Skrine & Co Digugur Sebagai Peguam Pemerhati

SELANGOR KINI

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang menolak permohonan bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd, Law Jenn Dong untuk menyingkirkan firma guaman Skrine & Co sebagai peguam pemerhati bagi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad berkata mahkamah juga mengarahkan syarikat itu digugurkan daripada menjadi peguam pemerhati dalam perbicaraan itu yang membabitkan Law, 52, dan dua yang lain.

Law, arkitek Bernard Tan Seng Swee dari BTA Architect, 49, dan Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi, Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah pada 8 November lepas atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi bagi dua projek di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dalam penghakimannya, Siti Mariah berkata beliau berpendapat bahawa kepentingan pemohon dan tertuduh yang lain akan menjadi lebih prejudis jika mahkamah membenarkan Skrine untuk terus menjadi pemerhati.

Perkara 3 dan 5 dalam Peraturan Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978 jelas terpakai kepada majlis atau peguam pemerhati, di mana Skrine akan mengalamai kesukaran untuk mengekalkan kebebasan mereka dalam konflik kepentingan kerana majoriti saksi adalah dari LPK, anak guam mereka.

Oleh itu, beliau berkata adalah menjadi tugas mahkamah untuk melihat peguam mengendalikan kes mereka mengikut Rukun Profesion Guaman bagi mengekalkan tahap dan maruah profesionalisme mereka dan bagi mengelakkan keadaan konflik kepentingan.

Perkara 3 menjelaskan bahawa peguam dan peguamcara perlu menolak sebagai pemerhati jika dia berasa serba salah, katanya.

Siti Mariah berkata Rukun 3(i) akta yang sama menjelaskan keadaan serba salah akan timbul jika peguam dan peguamcara mempunyai capaian maklumat sulit berikutan pernah memberi nasihat kepada orang lain berhubung perkara yang sama.

Dalam kes ini, beliau berkata dua peguam dari Skrine, Vinayak Pradhan danLim Chee Wee menganggotai pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat pelaksanaan projek PKFZ dan membuat cadangan sewajarnya kepada kerajaan.

Pada 3 Dis tahun lepas, Hakim Asmadi Hussin menolak permohonan Law atas alasan maklumat sulit yang boleh diperolehi oleh Skrine daripada dua rakan kongsinya yang menganggotai pasukan petugas khas bagi menyiasat pelaksanaan projek itu tidak mungkin boleh digunakan semasa perbicaraan.

Katanya tidak ada keterangan bahawa peguam Skrine akan menjadi saksi dalam perbicaraan itu dan sebagai peguam pemerhati, peranan yang dimainkan Skrine dalam pasukan petugas khas itu adalah berbeza daripada peranan peguam pemerhati dalam sesebuah perbicaraan. Law diwakili Justin Wee, Skrine oleh Deepa Nambiar dan pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajuddin.


Tiada ulasan: