Sabtu, 9 April 2011

Skandal PKFZ : Keputusan Permohonan Stephen Abok Ditetap 12 April

BERNAMA

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen menetapkan 12 April ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Stephen Abok supaya dilepaskan daripada 26 pertuduhan alternatif ke atasnya berkenaan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Asmadi Hussain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak hari ini.

Pada November tahun lepas, Stephen memfailkan permohonan agar beliau dilepaskan daripada 26 pertuduhan alternatif yang dikenakan terhadapnya atas alasan kesemua tuduhan itu tidak berasas.

Artikel dalam The Edge Financial Daily bertajuk ‘OSK Trustees Unaware of Cheating in PKFZ case’ yang diterbitkan pada 10 Nov tahun lepas telah digunakan oleh Stephen dalam permohonannya itu.

Stephen, 53, diwakili peguam Hisham Teh Pok Teik sementara Ketua Unit Pelucutan Harta Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Anas Mahadzir hadir bagi pihak responden.

Stephen, bekas pengurus projek Kuala Dimensi Law Jenn Dong, 52, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect mengaku tidak bersalah terhadap 24 tuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd melibatkan bayaran RM116.85 juta kepada KDSB berkaitan dua projek di PKFZ.

Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi tuduhan pilihan iaitu menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik bagi sistem 33 kilovolt di PKFZ dan sistem yang sama di Presint 2 serta Presint 8 telah dilaksanakan.

Tindakan itu telah mendorong OSK Trustees membuat bayaran RM5.42 juta kepada KDSB.

Hisham dalam hujahnya berkata kesemua pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atas Stephen adalah tidak berasas kerana OSK Trustees dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar harian kewangan itu berkata ia tidak menyedari tentang sebarang penipuan.

Beliau berkata OSK Trustees juga tidak pernah menafikan laporan yang dikeluarkan oleh Financial Daily itu dan pemberita akhbar berkenaan dalam afidavitnya mengesahkan bahawa beliau adalah penulis artikel tersebut.

“Saya hujahkan bahawa artikel dalam akhbar itu bukan hearsay (keterangan dengar cakap). Adalah tidak adil untuk responden menyatakan bahawa kami tidak boleh bergantung kepada artikel tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Hisham memohon agar mahkamah menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 173 (g) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) agar Stephen dilepaskan daripada 26 pertuduhan alternatif tersebut.

Dzulkifli dalam hujahnya pula berkata di bawah Seksyen 173 (g) KPJ mahkamah tidak boleh melepas dan membebaskan tertuduh sehingga mendengar keterangan saksi-saksi semasa perbicaraan dan di bawah seksyen itu juga kuasa mahkamah hanya untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh.

Beliau berkata mahkamah juga perlu mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada pertuduhan ke atas tertuduh tidak berasas atau sebaliknya.

“Mengenai hujahan pihak pemohon sama ada OSK Trustees ditipu atau tidak, ia perlu diputuskan berdasarkan keterangan yang akan dikemuka oleh pihak pendakwaan dan bukan atas dasar laporan keratan akhbar.

“Pihak kami mempunyai saksi-saksi yang akan dikemuka ke mahkamah yang akan memberi keterangan bahawa mereka tidak akan meluluskan bayaran itu sekiranya mereka mengetahui kerja-kerja seperti dalam pertuduhan itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Anas pula berhujah laporan akhbar tersebut jelas satu keterangan dengar cakap dan ia tidak boleh diterima sebagai bukti bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan terhadap permohonan itu.

“Apabila mahkamah hendak buat keputusan ia harus mengikut peruntukan undang-undang dan hearsay tidak mengikut peruntukan undang-undang. Justeru kami merayu agar permohonan tertuduh ditolak dan perbicaraan diteruskan,” katanya.


Tiada ulasan: