Sabtu, 2 April 2011

Selangor lulus Enakmen Kebebasan Maklumat, sifatkan ‘produk kuasa rakyat’

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

Wong
SHAH ALAM— Enakmen Kebebasan Maklumat 2010, yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat, yang membolehkan orang awam akses kepada dokumen-dokumen kerajaan negeri diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Elizabeth Wong yang membentangkan bacaan kali ketiga berkata ia satu titik bersejarah, bukan sahaja bagi Selangor, malah di Malaysia.

“Tiada negeri-negeri lain yang berani untuk melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat. Ini produk kuasa rakyat,” kata beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Wong berkata, pindaan pada rang undang-undang itu, yang pertama kali dibentangkan Julai lalu, diterima oleh kerajaan negeri.

Kata beliau, enakmen itu sesuatu yang bersifat dinamik kerana ia akan dipinda dari semasa ke semasa untuk membawa elemen penambahbaikan.

“Hari ini kita meluluskan tetapi jika dalam enam hingga tujuh bulan, jika kita mendapati perlu memperbaiki, maka kami akan menerima syor dan memindanya,” kata Wong lagi.

Ketika dibahaskan Julai lalu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri BN (BN) membantah Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 yang antara lain membolehkan maklumat rahsia kerajaan negeri didedahkan kepada umum.

Ketika membentangkannya buat bacaan kali kedua Julai lalu, Wong yang mengetuai Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar berkata, enakmen itu antara lain bertujuan memberikan akses kepada setiap individu di Selangor terhadap maklumat yang dimiliki jabatan kerajaan negeri.

Ketika itu katanya, satu jawatan pegawai maklumat akan diwujudkan di setiap jabatan yang berfungsi sebagai perantara antara jabatan dengan orang awam dalam sebarang permohonan maklumat.

Tiada ulasan: