Selasa, 12 April 2011

Sekampit beras sebulan untuk 100 fakir

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS: Dewan Undangan Negeri (Dun) Penaga menjadi Dun pertama di Pulau Pinang mengambil langkah memberi beras bulanan (Al-It'am) kepada 100 fakir miskin terpilih sepertimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Penyelaras Dun Penaga, Rosidi Husein ketika menyampaikan ucapan pelancaran menyifatkan, pemberian sekampit beras sebulan sekali itu bukan bertujuan mendapatkan nama sebaliknya memenuhi tanggungjawab sebagai salah sebuah parti yang mementingkan kebajikan.

"Bila saya tengok Kerajaan Kelantan berjaya lakukan program tersebut saya cuba mencari dana untuk menjayakan di Dun sasaran PAS Negeri, " ujarnya.

Lagipun ia merupakan lanjutan kepada kerja buat kerajaan negeri di bawah Exco Kebajikan, Phee Boon Poh yang terlebih dahulu menyalurkan bantuan sekampit beras selepas kemenangan Pakatan rakyat di Pulau Pinang kepada ribuan rakyat miskin tanpa mengira latar belakang agama dan politik.

(Gambar: Rosidi melancarkan program sekampit beras sebulan)

Sebenarnya langkah tersebut boleh menghubungkan tali silatulrahim sesama rakyat di samping mendengar keluhan mereka secara terus. Di mana tentu ada keluhan yang diberikan boleh memperbaiki mutu perkhidmatan penyelaras Dun mahupun kerajaan.

Memandangkan kali pertama dilaksanakan di Dun ini tambahnya, mungkin ada nama golongan terbabit yang tercicir dari pemerhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

Mereka yang terpilih mestilah betul-betul daripada golongan yang daif, ramai tanggungan dan tidak berupaya bekerja menampung pendapatan keluarga.

"Untuk memastikan program ini berjaya diselaraskan dengan betul, semua JKKK harus menjadi telinga dan mata kerajaan menghidu keresahan dan keluhan rakyat bukan sekadar mendapatkan nama yang tercicir sahaja sebab bidang kebajikan kena diperbuat dengan bersungguh, " tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Program yang diadakan di Dewan Kelompok Padi, Kampung Lahar Kepar itu turut melancarkan tiga lagi program Dun Penaga serentak iaitu Al-Aitan (bantuan anak yatim), Syakhsiah Rasyidah (bantuan gunting rambut pelajar

Sekolah Rendah terpilih enam kali setahun) dan XPDC Remaja Pandu Cermat anjuran Generasi Pewaris Majlis Agama Islam Pulau Pinang (maipp).

Semua program tersebut akan diselenggarakan oleh penyelaras Dun bersama JKKK seluruh Penaga untuk menimbulkan kesedaran masyarakat yang selama ini bergantung pada Umno yang hampir tengelam dalam arus persana politik negara.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Penasihat Mutiara Infaq, Zulkifli Md Lazim, Pengerusi Syarikat Tunas Indah Niaga, Zaini Hasan, bekas pelumba motosikal negara, Yaser Said dan bekas penyanyi utama Kumpulan Rock Gamma, Blank.

Tiada ulasan: