Khamis, 21 April 2011

'Saya sedia ditentang' - Abdul Hadi

Presiden Pas itu mengakui tidak selamanya akan menjadi pemimpin

MSTAR ONLINE

MARANG: "Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (jawatan presiden), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya. Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis."

Demikian kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media mengulas mengenai tindakan Pas Kawasan Bukit Bintang yang mencalonkan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa supaya mencabar Presiden Pas itu pada Muktamar Pas ke-57 pada Jun depan.

Selain itu katanya, Pas juga mengalu-alukan pertandingan bagi sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain selain memantapkan kepimpinan parti.

"Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib," katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, pemimpin, ahli dan penyokong perlu sambung baik jika ada pencalonan daripada pemimpin Pas untuk jawatan tertentu daripada latar belakang dan pendidikan yang berbeza.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengingatkan pemimpin, ahli dan penyokong Pas agar tidak terpengaruh dengan gendang yang dipukul pihak lawan, berhubung soal pemilihan sebarang jawatan dalam parti.

Ini kerana katanya, ia memainkan sentimen kepuakan antara golongan ulama dan profesional.

"Gendang tersebut dibunyikan bagi tujuan memecahbelahkan perpaduan antara pemimpin, ahli dan penyokong Pas yang seharusnya disambut dengan bijak.

"Dalam Pas tidak timbul perbezaan antara golongan ulama dan profesional kerana kesemua pemimpinnya berjuang atas landasan parti yang kukuh untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air," katanya.

Tiada ulasan: