Jumaat, 15 April 2011

Sarawak: SPR ramal peratus keluar undi boleh capai 75 peratus

TERKINI

KUCHING — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 esok akan mencecah 75 peratus.

“Berdasarkan keseriusan kempen yang sedang berlangsung, kami menjangkakan peratusan keluar mengundi akan meningkat sehingga antara 65 dan 75 peratus,” kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Peratusan paling tinggi disaksikan ketika pilihan raya negeri yang pertama pada 1969 iaitu 74.1 peratus.

Pada pilihan raya negeri 2006, peratusan keluar mengundi hanya 63.2 peratus.

Ini kali pertama Sarawak menyaksikan pilihan raya negeri paling sengit dengan kesemua 71 kerusi dipertandingkan.

Malah ini kali pertama sejak 1987 BN berhadapan dengan saingan di kesemua kerusi.

Dalam pada itu kata beliau, pihaknya menjangkakan keputusan paling awal bagi pilihan raya negeri Sarawak esok akan diperoleh pada pukul 8 malam esok.

Kemua keputusan akan selesai diumumkan sebelum pukul 11 malam.

Beliau juga meramalkan peratusan keluar mengundi akan meningkat sebab ramai yang bertanding dan persaingan sengit.

“Parti-parti bertanding begitu teruja kali ini. Tak pernah dalam sejarah pilihan raya negeri sampai 213 calon, dengan calon Bebas 41 orang. Lepas itu tak ada siapa yang menarik diri,” kata Abdul Aziz lagi.

Tiada ulasan: