Khamis, 14 April 2011

Rombak Undi Pos, kata BERSIH

Ditulis oleh Jasbant Singh

KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya merombak semula konsep undi pos yang didakwa menjadi faktor berkurangnya peratusan keluar mengundi.

Ini berikutan peruntukan undang-undang yang dikenakan terhadap golongan layak mengundi secara pos tidak lagi relevan berikutan masyarakat yang bekerja di luar kawasan mengundi semakin bertambah.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat berkata, kos pegangkutan yang tinggi merupakan faktor utama mereka layak mengundi tidak dapat pulang menunaikan tanggunjawab masing-masing khususnya di negeri Sabah dan Sarawak.

Justeru katanya, SPR harus menyediakan pilihan kepada golongan ini untuk mendaftar sebagai pengundi pos.

"Ia (undi pos) sepatutnya menjadi pilihan kepada semua termasuk masyarakat yang berada di luar negara dan bukan hanya pegawai diplomat kerajaan dan pelajar. Ini termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Jadi kita gesa supaya (SPR) membenarkan individu yang berada diluar kawasan layak mengundi pos," jelas beliau.

Bercakap kepada pemberita, Dr Wong menjelaskan negeri Sarawak dikategorikan antara peratusan keluar mengundi terendah pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan catatan 58 peratus berbanding Semenanjung Malaysia iaitu 79 peratus.

Beliau seterusnya menunding jari kearah SPR kerana bersikap tidak proaktif dalam usaha menarik lebih ramai golongan layak mengundi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Berdasarkan maklumat daripada SPR, seramai 18,363 orang layak untuk mengundi pos pada PRN Sarawak kali ini termasuk anggota polis dan askar, pelajar luar negara dan kakitangan SPR.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan kekesalan terhadap sekatan yang dikenakan keatas beliau dan beberapa individu lain daripada memasuki negeri Sarawak menjelang PRN pada 16 April nanti.

Katanya, rakyat Sarawak berhak untuk dibekalkan dengan maklumat daripada Bersih 2.0 berhubung proses pilihan raya dan hak pengundi berdaftar.

Ini katanya adalah sebahagian daripada usaha kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menyekat rakyat di negeri itu mendapat informasi sumber alternatif yang dikhuatiri mampu menggugat kedudukan beliau dan parti Barisan Nasional.

"Ada ramai rakyat di semenanjung yang tidak dibenarkan untuk memasuki Sarawak bagi melindungi hak orang Sarawak. Kita tidak berniat untuk menentang syarat kemasukan di Sarawak tapi hak transmigrasi ini telah disalahguna untuk menyekat individu seperti kami masuk ke negeri itu.

"Alasan untuk saya masuk ke Sarawak adalah mudah untuk menjadi pemerhati pada pilihanraya dan memberitahu rakyat Sarawak bahawa mereka mempunyai hak untuk mengundi tidak kira di mana anda berada. Tapi mesej tersebut diketepikan," ujar beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pagi tadi.

Dr Wong turut menggesa rakyat Sarawak untuk menyalurkan maklumat kepada Bersih 2.0 tentang sebarang unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa bersempena pilihan raya negeri itu nanti dan pertubahan itu tidak teragak untuk membuat laporan polis.

Tiada ulasan: